top of page

PRN Sarawak: Setiap calon wajar diberi peluang sama rata berkempen - Abun

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
6 hours ago
2 min read
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit

Setiap calon, tanpa mengira parti politik yang diwakili, hendaklah diberikan peluang yang sama untuk berkempen di tempat-tempat yang telah mendapat kelulusan sah daripada pihak berkuasa berkaitan - Abun

Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil langkah segera bagi memastikan semua calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13) dapat berkempen secara bebas tanpa berdepan ugutan, intimidasi atau tindakan menghalang pergerakan mereka.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata pihaknya menerima maklumat terdapat calon tertentu yang pernah mengalami tindakan dihalang, dihalau atau tidak dibenarkan menjalankan aktiviti politik dan kempen di lokasi tertentu oleh pihak-pihak tertentu.


"Sekiranya kejadian sedemikian benar-benar berlaku, perkara ini amat membimbangkan dan tidak sepatutnya berulang dalam PRN-13 Sarawak.


"Setiap calon, tanpa mengira parti politik yang diwakili, hendaklah diberikan peluang yang sama untuk berkempen di tempat-tempat yang telah mendapat kelulusan sah daripada pihak berkuasa berkaitan.


"Tidak sepatutnya mana-mana parti politik, penyokong parti atau individu tertentu bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan siapa yang boleh atau tidak boleh memasuki sesuatu kawasan bagi menjalankan kempen yang sah," katanya menerusi satu kenyataan.


Sehubungan itu, Abun berkata, Ketua Polis Negara digesa mengarahkan pihak polis, khususnya di Sarawak untuk mengambil langkah pencegahan dan memberikan perlindungan keselamatan yang sewajarnya kepada semua calon ketika menjalankan kempen yang sah, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku gangguan atau intimidasi.


Ketua Pesuruhjaya SPRM pula kata Abun perlu memberikan perhatian terhadap sebarang dakwaan penggunaan wang, habuan, penyalahgunaan kuasa atau unsur rasuah yang bertujuan menghalang calon tertentu daripada menjalankan kempen, sekiranya terdapat asas dan bukti yang munasabah.


"SPR memastikan peraturan kempen dikuatkuasakan secara adil dan konsisten terhadap semua calon tanpa pilih kasih.


"Pemantau bebas pilihanraya juga digesa turun padang, khususnya ke kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak, bagi memantau perjalanan kempen serta merekodkan sebarang kejadian gangguan, ugutan, halangan atau tindakan menghalau calon.


"Sekiranya keadaan dan sumber mengizinkan, pihak polis dan pemantau bebas pilihanraya disarankan menyediakan pengiring atau pemantauan kepada setiap calon semasa menjalankan kempen, khususnya di kawasan yang mempunyai sejarah gangguan atau berpotensi mencetuskan ketegangan," ujarnya lagi.


Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang menegaskan, PRN Sarawak mesti berlangsung dalam suasana aman, bebas, adil dan demokratik.


Katanya, tiada calon patut berasa takut untuk menjalankan kempen yang sah, dan tiada pengundi patut dinafikan peluang mendengar pandangan daripada calon-calon yang bertanding.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page