top of page

Penamaan calon PH Melaka lancar, ‘Melaka Rumah Kita’ jadi teras kempen

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
54 minutes ago
2 min read
DS Amirudin (berbaju putih) sewaktu mengiringi calon DUN Paya Rumput ke pusat penamaan calon, pagi tadi
DS Amirudin (berbaju putih) sewaktu mengiringi calon DUN Paya Rumput ke pusat penamaan calon, pagi tadi

Proses penamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 berjalan lancar apabila kesemua 24 calon gabungan itu berjaya mengemukakan borang pencalonan masing-masing tanpa sebarang masalah.


Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua borang pencalonan lengkap diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penamaan calon masing-masing.


Beliau berkata, daripada keseluruhan calon yang diketengahkan, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masing-masing di tujuh kerusi.


"Alhamdulillah, proses penamaan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri Melaka 2026 hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah atau isu.


"Kesemua 24 calon telah mengemukakan borang pencalonan lengkap di pusat penamaan calon masing-masing dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya dalam kenyataan hari ini.


KEADILAN meletakkan calon di DUN Tanjung Bidara, Ayer Limau, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Paya Rumput, Kelebang, Ayer Molek, Rim dan Serkam.


DAP pula bertanding di Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong dan Bandar Hilir.


Sementara itu, AMANAH mempertaruhkan calon di Kuala Linggi, Durian Tunggal, Bukit Katil, Telok Mas, Merlimau, Taboh Naning dan Sungai Rambai.


Amirudin berkata, PH memulakan kempen secara rasmi dengan mengangkat tema 'Melaka Rumah Kita' sebagai teras perjuangan untuk mendekati rakyat, mendengar keperluan penduduk serta membentangkan tawaran bagi masa depan negeri itu.


Katanya, sepanjang tempoh kempen, PH akan menjawab segala tohmahan dan persoalan secara tegas, pantas serta berlandaskan fakta bagi memastikan pengundi mendapat maklumat tepat sebelum membuat pilihan.


"Pengundi Melaka berhak mendapat maklumat yang tepat untuk membuat pilihan tanpa dimanipulasi oleh dakwaan mengelirukan daripada pihak lawan," katanya.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua calon, pimpinan dan jentera parti supaya menjaga adab, tatatertib serta kesopanan sepanjang berkempen.


Katanya, semua pihak juga perlu mematuhi peraturan pilihan raya, menghormati masyarakat dan memastikan setiap pendekatan mencerminkan kematangan politik yang diperjuangkan PH.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon serta merakamkan penghargaan kepada petugas SPR, pasukan keselamatan dan jentera parti yang membantu melancarkan proses penamaan calon.


"Marilah kita mengangkat perbahasan yang bermutu dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page