Semua 24 calon PH lepas penamaan, tolak politik kebencian di Melaka - Saifuddin


Semua 24 calon Pakatan Harapan (PH) berjaya melepasi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas memenuhi syarat dokumentasi dan rekod yang ditetapkan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 10 calon mewakili KEADILAN, manakala selebihnya daripada komponen parti lain dalam gabungan berkenaan.
Beliau berkata, calon KEADILAN akan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Paya Rumput, Klebang, Ayer Molek, Rim dan Serkam.
"Semua calon PH melepasi penamaan calon dari segi dokumentasi, rekod yang membolehkan mereka diterima kertas pencalonan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di Kompleks Perniagaan Musai Jaya, Bukit Piatu, Melaka, pagi tadi.
Mengulas slogan rasmi kempen PH, Saifuddin berkata, tema 'Melaka Rumah Kita' dipilih selepas melalui proses libat urus bagi membawa mesej perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat negeri itu.
Menurutnya, rumah merupakan simbol tempat berlindung dan berteduh yang sepatutnya memberikan ketenangan serta keamanan kepada setiap penghuninya tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya.
"Rumah ini analogi tempat kita berteduh, berlindung. Ada istilah 'rumahku syurgaku'. Kita nak tenang damai," katanya.
Beliau berkata, setiap anggota dalam sebuah rumah mempunyai fungsi serta tanggungjawab masing-masing, termasuk menjaga keselamatan, kemakmuran dan hubungan perpaduan.
Saifuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah yakin slogan berkenaan akan terus mendapat tempat dalam kalangan pengundi sepanjang tempoh kempen kerana membawa mesej yang mudah difahami.
Katanya, PH kini memberi tumpuan memperkenalkan calon gabungan itu yang terdiri daripada pemimpin berpengalaman serta muka baharu.
Beliau turut menyifatkan PRN sebagai pesta demokrasi yang perlu diraikan dengan menghormati perbezaan pandangan, selain menolak pendekatan politik berasaskan kebencian dan permusuhan antara kaum.
"Red line kami ialah menolak politik kebencian, politik adu domba, bahawa membela kaum kami, maka kami menindas kaum lain. Itu kami tolak," katanya.
Menurutnya, kempen pilihanraya tidak sepatutnya diukur berdasarkan pihak yang paling lantang bersuara, sebaliknya sejauh mana calon dan parti mampu memperoleh keyakinan rakyat.
Saifuddin berkata, PH akan mengetengahkan dasar, idea, rekod kerja serta keupayaan gabungan itu menyelesaikan masalah rakyat, khususnya berkaitan kebajikan dan kesejahteraan hidup.
Beliau berkata, kempen PH bukan pertandingan fitnah, sebaliknya medan untuk pengundi menilai tawaran dasar dan penyelesaian yang dikemukakan setiap parti.
Selain itu, kata Menteri Dalam Negeri itu, manifesto PH akan memperincikan pendekatan gabungan berkenaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kos sara hidup dan menjamin masa depan golongan muda.
Saifuddin berkata, antara sandaran utama PH ialah Belanjawan Persekutuan 2027 yang memberi tumpuan kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat serta prinsip tadbir urus yang baik.
Beliau memberi contoh bantuan awal persekolahan sebanyak RM200 kepada kira-kira 5.2 juta pelajar sebagai antara inisiatif yang dapat membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anak bersekolah.
Katanya, rekod dan pendekatan kebajikan kerajaan Persekutuan itu akan turut diketengahkan dalam usaha menjelaskan tawaran PH kepada pengundi Melaka.




Comments