top of page

Tok Man sasar rampas Paya Rumput, janji tumpu isu banjir, perumahan awam

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
44 minutes ago
2 min read
Datuk Azman dalam sidang media sebaik diumumkan sebagai calon rasmi DUN Paya Rumput
Datuk Azman dalam sidang media sebaik diumumkan sebagai calon rasmi DUN Paya Rumput

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin atau Tok Man menyasarkan kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan merampas kerusi berkenaan menerusi kempen yang bermula hari ini.


Beliau menyeru seluruh penyokong dan jentera parti supaya bekerja keras serta menyelaraskan kempen bagi memastikan kemenangan PH di kawasan itu.


"Memang tak mudah tetapi kalau kita bekerja bersama, kerja kuat, saya percaya kita boleh ambil Paya Rumput untuk PH," katanya ketika selepas selesai proses pemanaan calon di Ballroom Stadium Hang Jebat hari ini.

Azman calon nombor 3
Azman calon nombor 3

Azman yang merupakan calon nombor tiga di kertas undi berkata, penyokong yang ingin membantu boleh berhubung dengan pengurus kempennya bagi menyelaraskan bentuk bantuan diperlukan sepanjang tempoh berkempen.


Mengulas isu setempat, beliau berkata, masalah banjir, kesesakan trafik dan kemudahan perumahan antara perkara utama yang akan diberi perhatian sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.


Katanya, penyelesaian isu berkenaan perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan, dengan perkara yang boleh diselesaikan segera akan diberi tindakan terlebih dahulu.


"Isu terutama banjir, kesesakan trafik dan kemudahan perumahan. Kita tengok bagaimana kaedah terbaik untuk kita selesaikan perkara tersebut. Kita cuba selesaikan fasa demi fasa.


"Yang boleh kita selesaikan (segera), kita selesaikan. Banjir ini mengambil masa sedikit," katanya.


Beliau berkata, kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini terhadap rancangan tebatan banjir di Bukit Rambai yang turut melibatkan kawasan Paya Rumput merupakan antara usaha menangani masalah berkenaan.


Selain itu, katanya, pengumuman mengenai satu lagi projek perumahan rakyat di Paya Rumput juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.


Azman berkata, beliau menawarkan pengalaman serta perkhidmatannya ketika berkhidmat bersama Perdana Menteri sebagai kelebihan untuk membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah penduduk.


Katanya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dipercepatkan.


"Sekiranya saya diberi mandat, itu yang akan saya laksanakan, iaitu kerjasama antara negeri dan Persekutuan itu harus baik untuk kita melancarkan penyelesaian segala masalah rakyat," katanya.


Azman akan berdepan saingan tiga penjuru di Paya Rumput pada PRN Melaka kali ini.


Beliau dicabar calon Perikatan Nasional, Rafie Ahmad dan Abdul Rasyid Abu Bakar dari Parti Bersama Malaysia (Bersama).


Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Safuan Effendy Mat Ghani selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi di Ballroom Stadium Hang Jebat .


Pada PRN 2021, kerusi berkenaan dimenangi Datuk Rais Yasin daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 629 undi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page