top of page

Saingan empat penjuru di DUN Bukit Katil

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
13 minutes ago
1 min read
Adly dalam sidang media selepas usai proses penamaan calon
Adly dalam sidang media selepas usai proses penamaan calon

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari berdepan persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas tiga pencabar lain turut mengesahkan penyertaan masing-masing pada hari penamaan calon, hari ini.


Selain calon Pakatan Harapan (PH) itu, kerusi berkenaan turut menyaksikan persaingan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ridzuan Mohd Shariff; Parti Bersama, Dr Aliza Che Amran; serta calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.


Proses penamaan calon di Dewan Tun Ali menyaksikan penyokong parti masing-masing mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon seawal jam 8 pagi bagi memberikan sokongan kepada calon pilihan mereka.


Dr Aliza menjadi calon pertama tiba kira-kira jam 8.15 pagi, diikuti Mohd Ridzuan pada jam 8.30 pagi.


Adly yang juga penyandang kerusi itu tiba lima minit kemudian dengan iringan penyokong PH melaungkan slogan "Melaka Rumah Kita".


Kehadiran Abu Bakar kira-kira jam 9 pagi melengkapkan senarai empat calon yang bertanding di kerusi berkenaan.


Proses penyerahan borang pencalonan bermula tepat jam 9 pagi.


Usai proses penamaan calon Adly yang juga Pengerusi PH Melaka berucap memohon rakyat Melaka agar memberi undi kepada PH dalam PRN kali ini.


"Tugas saya merayu kepada seluruh warga DUN Bukit Katil agar menyokong calon nombor 1, Adly Zahari dari PH.


"Kita harap dapat terus bekerja dengan gigih untuk meraih sokongan memenangkan Bukit Katil, dan juga kepada seluruh 24 DUN yang kita tandingi, kita harap tugas kita bekerja dengan bersungguh sungguh.


"Saya merayu kepada rakyat negeri Melaka agar memberikan sokongan kepada seluruh calon PH," katanya.


Tempoh kempen bagi PRH Melaka selama 14 hari bermula hari ini sebelum hari pengundian pada 14 November.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page