Farzana berdepan saingan empat penjuru di DUN Klebang


Calon muda berusia 26 tahun, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir kembali mencabar dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila disahkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Farzana yang pernah bertanding dalam PRN Melaka 2021 kali ini berdepan pertandingan empat penjuru menentang penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Lim Ban Hong; Mohamad Ali Mohamad daripada Bersatu; serta Young Jie Yu yang mewakili Parti Bersama.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ainu Nizla Kasman mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.
Menurut laporan TMP penamaan Farzana turut menarik perhatian apabila beliau menjadi antara calon wanita muda yang bertanding dalam PRN kali ini.
Beberapa pemimpin utama parti turut hadir mengiringi calon masing-masing, antaranya Presiden MCA, Wee Ka Siong; pengasas Bersama, Rafizi Ramli; dan Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh.
Farzana yang diramal penganalisis politik sebagai berpotensi menang di Klebang kembali ke gelanggang pilihanraya dengan pengalaman politik yang dikumpul sejak penyertaan pertamanya di DUN Sungai Rambai.
Bagaimanapun, PRN pada waktu itu dijalankan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan susulan wabak Covid 19 pada 2020, dan menyekat beliau untuk aktif berkempen.
Secara keseluruhan, seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada PRN Melaka kali ini, merangkumi 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 anggota polis.




Comments