top of page

Kempen kebencian boleh cetus keganasan, pihak berkuasa perlu bertindak tegas

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
41 minutes ago
3 min read

Kempen kebencian yang berleluasa di media sosial, khususnya membabitkan isu kaum dan etnik, berpotensi mencetuskan keganasan fizikal serta menggugat keselamatan awam jika tidak dibendung segera.


Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kejadian balingan bom petrol atau Molotov yang mengakibatkan kebakaran di kawasan kediaman warga Rohingya di Kulai, Johor, pada 13 Oktober lalu perlu dilihat dalam konteks lebih luas, termasuk pengaruh kandungan provokatif yang tular.


Beliau berkata, penyebaran video, provokasi dan kempen kebencian di media sosial boleh membentuk suasana permusuhan sehingga mendorong tindakan agresif terhadap sesuatu komuniti.


"Kita tidak boleh membiarkan media sosial menjadi medan untuk mengapi-apikan kemarahan masyarakat, membina persepsi permusuhan antara kaum dan menggalakkan tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, laporan empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 29 Oktober lalu atas pertuduhan melakukan khianat dengan api mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan menunjukkan kes berkenaan sudah memasuki proses perundangan.


Bagaimanapun, katanya, semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan berhak mendapat perbicaraan yang adil.


Mohd Azmi berkata, polis sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan serangan Molotov itu mempunyai kaitan dengan dua video tular yang memaparkan individu dipercayai warga Rohingya mencabar masyarakat Melayu.


Namun, katanya, sebarang kaitan antara video berkenaan dengan kejadian serangan perlu dibuktikan melalui siasatan, bukannya berdasarkan andaian atau tuduhan terbuka.


"Provokasi tidak menghalalkan keganasan. Keganasan pula tidak boleh dibenarkan atas alasan mempertahankan maruah sesuatu kaum," ujarnya.


Sehubungan itu, MAPIM menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan lebih tersusun dan tegas terhadap kandungan digital yang mengandungi unsur ancaman, hasutan keganasan atau provokasi berasaskan kaum.


Antara langkah yang perlu diberi keutamaan termasuk menyiasat video dan hantaran berkaitan, mengenal pasti pihak yang menghasilkan atau menyebarkan kempen kebencian serta mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terbukti menghasut, mengugut atau menggalakkan keganasan.


Beliau turut menegaskan keselamatan kawasan penempatan berisiko perlu dipertingkatkan, selain memastikan mangsa dan saksi mendapat perlindungan serta akses kepada bantuan guaman dan kemanusiaan.


Dalam masa sama, pihak berkuasa perlu mengeluarkan maklumat rasmi secara berkala bagi mengelakkan penyebaran berita palsu, manipulasi dan spekulasi yang boleh memburukkan keadaan.


Mohd Azmi berkata, setiap individu di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan, status pelarian, bangsa atau agama berhak mendapat perlindungan daripada ancaman terhadap nyawa dan keselamatan diri.


Jangan salahkan seluruh komuniti


Katanya, warga Rohingya yang menjadi mangsa serangan tidak boleh dijadikan sasaran kolektif akibat tindakan atau kenyataan individu lain, sebagaimana masyarakat tempatan tidak seharusnya dipersalahkan secara keseluruhan atas perbuatan segelintir pihak.


"Pendekatan menyalahkan seluruh komuniti hanya akan memperdalam jurang perpecahan dan meningkatkan risiko konflik," katanya.


Beliau turut mengakui isu kehadiran pelarian, tekanan terhadap kemudahan awam, pekerjaan, perumahan, keselamatan dan penguatkuasaan imigresen menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.


Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu ditangani melalui dasar awam yang jelas, penguatkuasaan konsisten serta mekanisme pengurusan pelarian yang berkesan, termasuk kerjasama kerajaan dengan UNHCR, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan organisasi masyarakat sivil.


Pada masa sama, MAPIM menggesa platform media sosial bertindak pantas terhadap kandungan yang menggalakkan keganasan, ancaman dan serangan terhadap komuniti tertentu.


Masyarakat juga diseru supaya tidak menyebarkan semula video, gambar atau dakwaan yang belum disahkan, khususnya kandungan yang boleh mendedahkan identiti mangsa, mencetuskan ancaman atau menggalakkan tindakan balas.


"Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga berlaku kematian atau tragedi yang lebih besar sebelum mengambil tindakan pencegahan.


"Kejadian di Kulai harus menjadi amaran serius bahawa penyebaran kebencian tanpa kawalan boleh membawa akibat yang amat berbahaya kepada keharmonian dan keselamatan negara," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page