Menangi semula kepercayaan rakyat, jangan tunggu pilihan raya - Rozana
- Helmi Mohd Foad

- 53 minutes ago
- 3 min read

KEADILAN perlu memperhebat usaha mendapatkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat dengan kembali mendekati masyarakat serta mendengar sendiri keresahan mereka bagi memperkukuhkan kedudukan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Rozana Zainal Abidin (gambar) berkata, cabaran terbesar parti ketika ini bukan sekadar memenangi pilihanraya sebaliknya memastikan rakyat kembali yakin terhadap perjuangan serta kemampuan KEADILAN membawa perubahan.
"Cabaran terbesar KEADILAN hari ini bukan hanya untuk memenangi pilihanraya. Cabaran kita ialah memenangi semula dan mengekalkan kepercayaan rakyat.
"Kepercayaan tidak lahir daripada poster. Kepercayaan tidak lahir daripada TikTok semata-mata. Kepercayaan dibina melalui kerja, melalui kehadiran dan melalui kesanggupan kita mendengar ketika rakyat memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Kongres Nasional Wanita KEADILAN 2026 bertemakan ‘Memugar Reformasi, Membina MADANI’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.
Menurut Rozana, pimpinan dan anggota parti perlu kembali turun ke kampung, kawasan FELDA serta mendekati pesawah, nelayan, peniaga kecil, penjawat awam, guru, mahasiswa dan keluarga muda bagi memahami sendiri masalah yang dihadapi rakyat.
Katanya, antara keresahan yang perlu diberikan perhatian ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak, pemilikan rumah serta jaminan masa depan keluarga.
"Pilihanraya akan datang bukan semata-mata soal siapa mempunyai jentera paling besar. Ia adalah soal siapa yang paling dipercayai.
"Maka mulai hari ini, susun kekuatan. Perkukuh Cabang. Rangkul mereka yang pernah tersisih. Kita dekati tanpa meninggalkan sesiapa pun," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kekalahan dalam pilihan raya tidak seharusnya sekadar disambut dengan kemarahan atau kekecewaan, sebaliknya perlu mendorong parti menilai kelemahan dan segera melakukan pembetulan.
Menurut beliau pimpinan perlu bertanya apa yang telah dilakukan untuk memperbaiki keadaan dan tidak menunggu sehingga pilihan raya berikutnya sebelum kembali menemui rakyat.
"Kita marah, kita kecewa, kita kalah dalam pilihan raya, tetapi apa kita buat untuk perbetulkan? Kita perlu lihat, kaji dan nilai, adakah kita perlu tunggu atau kita terus turun ke lapangan.
"Itu yang perlu pimpinan yang hadir hari ini lakukan sebaik kita balik ke kawasan," katanya.
Beliau menegaskan KEADILAN turut perlu meningkatkan usaha meyakinkan masyarakat Melayu bahawa menyokong parti itu tidak bermakna mereka perlu mengetepikan identiti, agama atau nilai yang dipegang.
Katanya, perjuangan meningkatkan kemajuan masyarakat Melayu dan prinsip keadilan untuk semua kaum boleh bergerak seiring.
"Kita boleh mengangkat martabat Melayu tanpa merendahkan kaum lain dan kita boleh memartabatkan Islam tanpa menjadikan agama sebagai alat untuk memecah-belahkan masyarakat," katanya.
Pada masa sama, beliau mahu Wanita KEADILAN memainkan peranan sebagai tiang seri parti dan menggunakan kelebihan anggotanya yang dekat dengan isu keluarga serta masyarakat untuk merangkul semula rakyat.
Dalam pada itu katanya sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan tidak sepatutnya dilihat sekadar memenuhi kuota, sebaliknya menjadi titik permulaan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa.
"Kita tidak meminta ruang kerana simpati. Kita menuntut ruang kerana wanita mempunyai keupayaan, pengalaman dan rekod untuk memimpin.
"Namun 30 peratus bukan noktah. Ia titik permulaan. Kita mahu melahirkan wanita yang kompeten, berwibawa dan diyakini rakyat sehingga suatu hari nanti wanita dipilih bukan kerana memenuhi kuota tetapi kerana rakyat tahu mereka mampu memimpin," katanya.
Mengulas perjalanan parti, beliau berkata KEADILAN telah melalui pelbagai episod sejak era Reformasi termasuk tekanan, fitnah, kekalahan, pengkhianatan, perpecahan dan kemenangan sebelum diberikan amanah mentadbir negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang mengambil ruang sementara daripada kesibukan politik bagi memberikan tumpuan kepada pengajian, sambil mengimbau perjuangannya sejak 1998 sebagai ‘Puteri Reformasi’.
Menurutnya, sejarah panjang itu harus menjadi peringatan bahawa parti berkenaan tidak boleh dikecilkan akibat perbezaan pandangan atau persaingan sesama sendiri.
"Saya menyeru seluruh keluarga KEADILAN, rangkul semua. Jangan sisihkan sesiapa hanya kerana berbeza pandangan. Jangan biarkan perbezaan menjadi perpecahan. Parti ini terlalu mahal harganya untuk kita kecilkan kerana perbezaan sesama sendiri," katanya.
Beliau berkata kuasa yang dimiliki KEADILAN hari ini tidak boleh dianggap sebagai destinasi akhir perjuangan Reformasi sebaliknya amanah untuk melaksanakan perubahan yang diperjuangkan selama ini.
"Kuasa bukan destinasi reformasi. Kuasa adalah amanah untuk melaksanakan reformasi.
"Kita tidak hanya mahu mempertahankan kemenangan yang ada, kita mahu memperluaskan kepercayaan rakyat. Kita tidak hanya mahu memenangi pilihan raya sahaja, malah bersama mahu memenangi hati rakyat.
"Pemimpin datang dan pergi. Jawatan bertukar tangan. Tetapi perjuangan mesti terus hidup. Parti ini bukan milik seorang. Bukan milik satu kelompok. Parti ini parti kita. Kita tetap satu. Kita tetap Reformasi. Kita tetap KEADILAN," katanya.




Comments