Sajak 'Patik Tak Rela': Hassan Karim beri keterangan di Bukit Aman


Saya memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat dan menjawab semua soalan yang boleh dijawab sepanjang proses berkenaan - Hassan
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberikan keterangan kepada polis selama hampir dua jam berhubung sajak hasil karyanya bertajuk 'Patik Tak Rela' yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini.
Hassan berkata, proses rakaman percakapan di Bukit Aman itu mengambil masa kira-kira satu jam 45 minit dengan beliau menjawab sekitar 20 soalan yang dikemukakan pegawai penyiasat.
Menurutnya, beliau memberikan kerjasama sepanjang proses siasatan, namun terdapat beberapa soalan yang hanya akan dijawab sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.
"Saya memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat dan menjawab semua soalan yang boleh dijawab sepanjang proses berkenaan.
"Ada beberapa soalan kalau didakwa, saya jawab di mahkamah," katanya dipetik Sinar ketika ditemui selepas selesai memberikan keterangan di Bukit Aman.
Beliau menjelaskan rakaman percakapan itu dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam perkembangan sama, Hassan memaklumkan telefon bimbit miliknya turut dirampas polis bagi membantu siasatan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, beliau turut dimaklumkan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Hassan sebelum itu tiba di Bukit Aman kira-kira jam 2.50 petang sebelum dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 3 petang.
Beliau memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menerusi sajak 'Patik Tak Rela' yang tular di media sosial beberapa hari lalu, Hassan menggunakan ungkapan "Ampun Tuanku" sebelum mengemukakan persoalan tentang keadilan yang sepatutnya tidak membezakan seseorang berdasarkan kedudukan atau darjat.
"Ampun Tuanku, derhakakah patik berkata benar? Tuhan menyeru bersikap adil sesama insan; tegakkan hukum di bumi Allah yang tak mengenal darjat dan kelas," antara bait sajak tersebut.
Hassan turut mempersoalkan sama ada tindakan berdiam diri ketika menyaksikan sesuatu yang dianggap tidak adil boleh membawa maksud seseorang itu merelakan ketidakadilan berkenaan.
Biarpun sajak tersebut tidak menyebut nama bekas Perdana Menteri Najib Razak yang baru baru ini menerima kelegaan hukuman dengan tahanan di rumah, namun kandungannya dipercayai merujuk kepada perkembangan isu tersebut.
Pada 11 November lalu, Najib dilaporkan mula menjalani tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur selepas Mahkamah Tinggi membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di kediaman tersebut sehingga 23 Ogos 2028.




Comments