Belanjawan Selangor 2027: Pelbagai inisiatif tingkat kualiti kehidupan anak muda


Inisiatif ini merupakan langkah positif dalam membuka peluang lebih inklusif kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, perubahan pasaran pekerjaan, perkembangan teknologi dan kemampuan memiliki kediaman sendiri - Haris
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Gombak menyifatkan Belanjawan Selangor 2027 yang dibentang pada 13 Nov lalu sebagai langkah positif dalam meneruskan agenda pembangunan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, selain memberi tumpuan khusus kepada generasi muda menerusi pelbagai inisiatif meliputi pekerjaan, pengangkutan awam, teknologi digital dan pemilikan rumah.
Ketuanya, Abdul Haris Harahap Khairudin berkata belanjawan bertemakan ‘Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ itu mencerminkan usaha Kerajaan Negeri mengimbangi kemajuan ekonomi, pembangunan modal insan dan keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau berkata, antara inisiatif yang diberi perhatian khusus pihaknya ialah Baucar Kita Selangor Gig yang menawarkan RM100 sebulan selama setahun kepada 5,000 penghantar p-hailing, subsidi pengangkutan awam RM30 sebulan menerusi Program SEL 30 serta bantuan 150 komputer riba bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain itu ujarnya, penyediaan 50,000 pakej langganan Gemini AI secara percuma selama setahun menerusi inisiatif AI Untuk Rakyat, peruntukan RM10 juta bagi Program Baik Pulih dan Ihsan Kediaman (BAIK) serta Skim Selangorku to Ownership (S2-OWN) yang membuka peluang pemilikan rumah kepada golongan berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan perumahan turut disambut baik.
"Inisiatif ini merupakan langkah positif dalam membuka peluang lebih inklusif kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, perubahan pasaran pekerjaan, perkembangan teknologi dan kemampuan memiliki kediaman sendiri.
"Dalam konteks Gombak, AMK turut menyambut baik peruntukan RM462,000 bagi menaik taraf Masjid Kompleks Wira Damai sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan masyarakat setempat.
"Kami menegaskan bahawa segala manfaat Belanjawan Selangor 2027 hendaklah disampaikan secara adil kepada seluruh rakyat yang memenuhi syarat kelayakan, tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
"Dalam suasana politik semasa, perbezaan pendirian antara parti-parti yang bekerjasama dalam kerajaan tidak seharusnya menjejaskan agenda kesejahteraan rakyat.
"Komitmen terhadap kestabilan kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dinilai bukan hanya melalui kenyataan politik, tetapi juga melalui kerjasama pentadbiran, penghormatan terhadap institusi serta kesungguhan menjayakan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Haris menyifatkan, kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar diukur melalui jumlah peruntukan diumumkan, tetapi melalui keberkesanan pelaksanaan dan manfaat sebenar yang diterima rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pelaksanaan inisiatif memberi penekanan kepada proses permohonan yang mudah, penyampaian maklumat menyeluruh, ketelusan pemilihan penerima dan pemantauan keberhasilan program.
"AMK Gombak komited menjadi penghubung antara dasar Kerajaan Negeri dengan masyarakat akar umbi, khususnya agar golongan muda memahami dan dapat mengakses peluang yang disediakan," ujarnya lagi.
Pada 13 November lalu, Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion.
Ia merangkumi RM1.9 bilion bersamaan 57.6% untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.4 bilion (42.4%) lagi untuk perbelanjaan pembangunan.
Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan besar Belanjawan Selangor 2027 dalam usaha menangani pelbagai cabaran semasa dengan lebih tangkas.




Comments