Pantun 'kencing': Jika tidak sehaluan, Ahmad Maslan letak jawatan serta-merta - AMK Johor


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan digesa meletakkan jawatan serta-merta susulan tindakannya mengeluarkan pantun yang didakwa mengaitkan Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) di dewan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Jalex Lee berkata, kenyataan Ahmad itu bukan perkara remeh kerana menimbulkan persoalan mengenai komitmennya terhadap semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Madani.
Menurutnya, tidak wajar seorang anggota pentadbiran kerajaan mengeluarkan kenyataan yang dilihat memperlekehkan semangat perpaduan serta asas penubuhan kerajaan berkenaan.
"Jika sudah tidak sehaluan dengan usaha dan semangat Kerajaan Madani, letak jawatan serta-merta.

"Tidak perlu menunggu arahan atau tindakan daripada PMX," katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, Kerajaan Madani dibentuk bagi memulihkan kestabilan politik negara demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, katanya, kenyataan dan sikap politik seseorang anggota kerajaan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada usaha mengekalkan kestabilan serta memperkukuh perpaduan.
Jalex turut mengingatkan bahawa seseorang tidak seharusnya hanya mahu menikmati kedudukan dalam kerajaan, tetapi pada masa sama mempersendakan semangat yang menjadi asas pembentukannya.
"Jangan hanya mahu menikmati kedudukan dalam kerajaan, tetapi pada masa yang sama mempersendakan semangat yang menjadi asas penubuhannya," katanya.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini Datuk Seri Ahmad Maslan berpantun yang dianggap menyindir salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
Ahmad yang membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya di peringkat jawatankuasa berbuat demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sebelum membacakan pantunnya:
"Jika tuan pergi memancing jangan lupa membawa umpan.
"Jika tidak mahu kena kencing, sokong Barisan (Nasional) dan Perikatan (Nasional)," katanya dipetik Berita Harian.




Comments