Pantun 'kencing': “Kalau anak jantan, letak jawatan segera!" MP PH cabar Ahmad Maslan


Ini amat mendukacitakan sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan dan tidak sepatutnya berlaku daripada seorang Timbalan Menteri yang mewakili Menteri pada petang ini.Kalau beliau merasakan kerajaan yang ada pada hari ini tidak dipersetujui, maka tinggalkanlah kerajaan ini. - Aminuddin
Sikap Barisan Nasional (BN) yang secara terbuka memperlihatkan tentangan terhadap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan terus menjadi persoalan apabila isu terbaharu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menggunakan ruang penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat untuk menyindir pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan Ahli Parlimen (MP) Pontian itu mengundang bantahan beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang menyifatkan kenyataannya sebagai tidak profesional dan bercanggah dengan kedudukannya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Malah mereka mencabar Ahmad supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi bersetuju dengan pendekatan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau kecewa dengan cara penggulungan yang dilakukan Ahmad apabila hampir 29 Ahli Parlimen telah mengemukakan pertanyaan dan membangkitkan isu berkaitan kementerian berkenaan sebelum sesi penggulungan berlangsung.
Menurut beliau, Timbalan Menteri Kerja Raya itu sepatutnya menggunakan kesempatan itu untuk memberikan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan wakil rakyat dan bukannya mengambil kesempatan menyampaikan ucapan berunsur politik dan provokasi.
Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dan Naib Presiden KEADILAN berkata, sebagai Timbalan Menteri yang mewakili kerajaan, Ahmad sepatutnya memahami tanggungjawab serta kedudukan beliau dalam pentadbiran sedia ada.
"Ini amat mendukacitakan sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan dan tidak sepatutnya berlaku daripada seorang Timbalan Menteri yang mewakili Menteri pada petang ini.
"Kalau beliau merasakan kerajaan yang ada pada hari ini tidak dipersetujui, maka tinggalkanlah kerajaan ini. Ini perkara penting untuk memastikan kerajaan dapat berjalan dengan baik," katanya dalam sidang media bersama Ahli-ahli Parlimen PH di bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu kontroversi itu tercetus ketika Ahmad menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat apabila beberapa kenyataannya menimbulkan persoalan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Ucapan Ahmad yang dilihat mengandungi sindiran terhadap kerajaan pimpinan Anwar itu turut mengundang reaksi Ahli Parlimen Jelutong yang menyanggah kenyataannya di dalam Dewan.
Perkembangan terbaharu itu juga mengingatkan kembali beberapa episod ketegangan politik membabitkan BN dalam Kerajaan Perpaduan termasuk kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan berbanding hanya melakukan rombakan Kabinet.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut pernah mempertikaikan tindakan Perbendaharaan berhubung peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), portfolio yang diterajuinya.
Hubungan semakin rumit
Selain itu, hubungan politik BN dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan turut memperlihatkan kerumitan apabila wujud kerjasama longgar dengan Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata Timbalan Menteri dari Barisan Nasional (BN) itu sepatutnya mengambil tindakan meletakkan jawatan sekiranya benar-benar tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Johor turut mempersoalkan sama ada kenyataan Ahli Parlimen Pontian itu mempunyai kaitan dengan kekecewaan kerana tidak memperoleh jawatan Menteri.
Katanya sindiran yang dilontarkan itu dilihat turut ditujukan kepada kepimpinan kerajaan, khususnya Perdana Menteri.
"Saya rasa orang Johor ini dari segi bahasanya lebih lunak tapi tak apalah kalau dia merasakan bahawa dia tidak bersetuju dengan pendekatan yang dibawa pada hari ini maka sewajarnya beliau boleh meninggalkan jawatan itu," ujarnya.
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong pula menyifatkan tindakan Ahmad sebagai tidak profesional dan tidak wajar dilakukan oleh seorang Timbalan Menteri yang sepatutnya mempertahankan dasar serta pendirian kerajaan secara kolektif.
Menurut beliau, seseorang anggota pentadbiran kerajaan tidak sepatutnya menggunakan platform penggulungan rasmi kementerian untuk menyindir kerajaan yang diwakilinya sendiri.
"Sepatutnya sebagai menteri atau timbalan menteri, beliau mempertahankan kerajaan sedia ada, bukannya menyindir kerajaan dalam penggulungan tersebut.
"Jadi, beliau tidak layak memegang jawatan tersebut dan sepatutnya meletakkan jawatan sekiranya tidak mahu menarik balik kenyataannya," katanya yang juga Pengerusi DAP Melaka.
Tampil dengan nada lebih keras, Ahli Parlimen Hulu Langat Sani Hamzan secara terbuka mencabar Ahmad supaya meletakkan jawatan serta-merta sekiranya tidak lagi selesa berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya AMANAH berkata, Ahmad tidak sepatutnya bersikap sombong, bongkak dan takabur susulan kemenangan politiknya di Melaka.
"Saya nak cabar Ahmad Maslan ini. Kalau dah tak kena selera dengan Kerajaan Madani, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, saya cabar beliau letak jawatan.
"Letak jawatan segera. Jangan rasa bongkak, takabur, sombong dan ego dengan kemenangan di Melaka.
"Saya cabar kalau beliau betul-betul anak jantan, kita minta beliau segera letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya," katanya.
Terdahulu, Ahmad yang membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya di peringkat jawatankuasa membacakan serangkap pantun ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu):
"Jika tuan pergi memancing jangan lupa membawa umpan.
"Jika tidak mahu kena kencing, sokong Barisan (Nasional) dan Perikatan (Nasional)," kata Ahmad dipetik Berita Harian.




Comments