Jangan wujud ‘parti dalam parti’, beri lebih peranan kepada anak muda


Kepimpinan dan anggota parti tidak wajar membiarkan pertelingkahan dalaman menjejaskan usaha memenangi hati rakyat, termasuk mengelakkan kewujudan “parti dalam parti”.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kekuatan organisasi tidak akan terbina sekiranya berlaku perebutan pengaruh dalam parti.
"Kita tidak jadi kuat kalau wujud parti dalam parti. Dua nakhoda mengemudi satu kapal atau wujudnya tangan ghaib," katanya dalam ucapan Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita & Angkatan Muda KEADILAN 2026 di MITC, Air Keroh, Melaka, pagi tadi.
Menurut Nurul Izzah, tenaga anggota parti seharusnya digunakan untuk memperkukuh organisasi dan mendekati rakyat, bukannya dihabiskan dalam pertelingkahan dalaman.
"Kita tak mampu kuat dalam organisasi selagi tenaga kita dihabiskan dalam pertelingkahan dalaman.
"Setiap jam kita gunakan untuk bertelagah sesama sendiri adalah jam yang kita tak gunakan untuk menangi hati rakyat," katanya.
Beliau berkata fokus parti perlu ditumpukan kepada agenda merakyatkan ekonomi serta memastikan kemenangan dalam pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, perjuangan itu bukan tugas mudah, namun prinsip berkenaan turut dipegang oleh beberapa pimpinan kanan termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Nurul Izzah, kemenangan dalam pilihanraya memberikan peluang kepada KEADILAN untuk melakar dan mencipta ruang, peluang serta budaya baharu dalam pentadbiran.
Beliau memberi contoh usaha kerajaan pimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melunaskan tanggungjawab menjaga amanah institusi yang berkaitan dengan urusan rakyat ke Tanah Suci susulan pendedahan Suruhanjaya Diraja (RCI).
"Amanah jadi kerajaan ibarat jantung reformasi. Namun itu tidak memadai," katanya.
Menurutnya, institusi Melayu termasuk FELDA dan MARA yang mempunyai kepentingan ekonomi kepada masyarakat Melayu perlu dipertahankan daripada sebarang tindakan yang boleh memangsakan rakyat.
"Institusi Melayu, emas di mata orang Melayu, emas ekonomi FELDA, emas ekonomi MARA semuanya harus dipertahankan. Sementara kita ada peluang kita tidak boleh biar ia dimangsakan," tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh yang ada sebelum PRU sekitar setahun perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memperbaiki prestasi KEADILAN.
Nurul Izzah berkata cabaran berkenaan turut menjadi tanggungjawab AMK dan Wanita KEADILAN, yang perlu membina hubungan, saling mengenali dan memperkukuh kepercayaan antara satu sama lain.
"Di sinilah AMK dan Wanita menghadapi cabaran. Dan semuanya bertitik tolak dengan kita perlu saling kenal mengenal, membina dan percaya," katanya.
Beliau juga menyeru supaya 'penyatuan ummah' dibina berasaskan prinsip keadilan yang menjadi asas perjuangan parti.
Kepimpinan juga, kata beliau, perlu dilihat sebagai amanah, bukannya semata-mata soal memiliki kuasa.
Menurutnya, setiap anggota parti perlu kembali kepada persoalan asas mengenai bagaimana amanah dipelihara dalam institusi parti dan diri sendiri.
"Yang satu mempertahankan kerusi (cari kuasa), yang satu mempertahankan nilai (amanah memerintah). Seluruh perjuangan kita kembali kepada satu persoalan sama, bagaimana kita memelihara amanah ini dalam institusi parti, dalam diri sendiri," katanya.
Beliau berkata menjadi pembangkang adalah lebih mudah berbanding mengurus kerajaan dengan baik kerana kuasa membawa pelbagai godaan untuk melakukan perkara yang salah atas alasan pragmatik.
“Menjadi pembangkang itu mudah, berkerajaan dengan baik adalah kerja yang jauh lebih sukar. Ia melibatkan godaan untuk melakukan benda yang salah, berbalut alasan pragmatik.
“Kita perlu tanya untuk siapa kita berjuang,” katanya.
Nurul Izzah turut menyentuh soal kompromi dalam politik dengan memberi contoh kerjasama politik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menumbangkan kerajaan kleptokrasi Najib Razak (BN).
"Saya berkongsi dengan AMK dan Wanita memberi makna sebenar perkataan kompromi. Misalnya saya membina jambatan dengan Tun Mahathir menumbangkan kleptokrasi.
"Satu lagi kompromi yang membuka ruang kepada rasuah dan kejahatan. Jadi kita mesti jelaskan garis merah yang kita tidak boleh melanggarnya," katanya.
Beliau juga memberi perhatian terhadap kecenderungan sebahagian anak muda Melayu melihat tokoh agama bukan sekadar sebagai pembimbing tetapi sebagai pemimpin politik dan masyarakat.
Katanya, kajian menunjukkan 37 peratus belia Melayu menyokong tokoh agama memegang kepimpinan dalam politik dan masyarakat, iaitu kadar yang lebih tinggi berbanding golongan yang lebih berusia.
Tambahnya, perkembangan itu mencerminkan pencarian kepastian moral dalam kalangan generasi muda yang berdepan tekanan ekonomi, kekecewaan terhadap institusi serta naratif politik yang dibungkus dalam bahasa moral berbanding bahasa dasar.
Katanya, perubahan itu juga dipengaruhi algoritma media sosial yang cenderung mengangkat kandungan mudah, tular dan menyentuh emosi walaupun kandungan tersebut tidak semestinya benar.
"Perubahan ini bukan sekadar perubahan undi berpindah satu parti ke parti lain, ia merupakan perubahan yang jauh lebih mendalam dalam cara belia Melayu membina identiti hasil pertembungan kerapuhan ekonomi, kebimbangan identiti dan kekecewaan institusi," katanya.
Nurul Izzah berkata keadaan itu berbeza dengan era selepas Reformasi apabila generasi muda ketika itu beralih menyokong pembangkang susulan krisis kewangan Asia 1997 dan layanan buruk kerajaan BN terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perbezaannya kali ini golongan muda tidak berpaling kepada kita," katanya.
Beliau berkata rakyat kini telah menyaksikan pelbagai pihak memerintah dan membuat penilaian berdasarkan rekod masing-masing, namun prestasi kerajaan semata-mata tidak mencukupi apabila berdepan sentimen dan persepsi.
Sehubungan itu, Nurul Izzah berkata AMK perlu melihat amanah yang diberikan kepada mereka sebagai pendorong untuk mengungguli kembali sokongan anak muda.
"Amanah kepada AMK bukanlah menunggu tetapi memimpin sekarang dengan kesedaran yang sama," katanya.
Beliau turut menegaskan parti yang lahir daripada keberanian anak muda perlu untuk lebih proaktif dan menjadikan anak muda sebagai penyumbang idea utama.
"Parti yang lahir dari keberanian anak muda tak layak meminta anak muda menunggu.
"Mereka sebenarnya wajah parti pada waktu mendatang dan perlu dijemput ke meja untuk berbincang. Bukan sekadar dijemput setelah keputusan dibuat," katanya lagi.




Comments