Fasa pertama penghantaran pulang 1,476 pelarian Myanmar hari ini - KDN


Proses penghantaran pulang secara sukarela fasa pertama membabitkan 1,476 warga Myanmar bermula hari ini sebagai sebahagian daripada program pemulangan berperingkat 5,000 individu ke negara asal yang dimuktamadkan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).
KDN dalam kenyataan memaklumkan 1,476 warga Myanmar itu dikenal pasti oleh Kerajaan Myanmar melalui Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
"Pelaksanaan pada 29 September dipersetujui menerusi mesyuarat penyelarasan membabitkan KDN, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan antara kedua-dua negara.
"Proses penghantaran itu menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar," kata kenyataan itu hari ini.
Menurut KDN, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menyelesaikan isu kehadiran pelarian dan pemohon suaka secara berperingkat, dengan pendekatan yang menggabungkan rundingan diplomatik serta pendaftaran dan pendataan individu di Malaysia.
“Pertama, melaksanakan rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat Myanmar dapat dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, kerajaan meneruskan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mendapatkan maklumat yang menyeluruh mengenai individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka termasuk bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan serta perancangan penyelesaian akhir.
KDN memaklumkan seramai 4,008 individu terutama etnik Rohingya akan dijalurkan kepada program DPP pada 2026 manakala 5,000 individu lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat.
Sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar berada di Depot Tahanan Imigresen namun KDN menegaskan jumlah itu merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian dan latar belakang keselamatan setiap individu.
Proses pendaftaran itu dijangka diselesaikan pada suku keempat tahun ini.
KDN memaklumkan program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar depot tahanan termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.
“Pendaftaran tersebut akan diwajibkan bagi membolehkan Kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas kepada pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Kata KDN, individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran akan diberikan Kad DPP yang membolehkan mereka tinggal sementara di Malaysia, tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan yang ditetapkan kerajaan.
KDN berkata lebih 95 peratus pelarian di Malaysia berasal dari Myanmar termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon menyebabkan penyelesaian isu berkenaan memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Kerajaan MADANI sedang dan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya.
KDN turut menegaskan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 manakala pelaksanaan DPP tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan atau penyertaan Malaysia kepada instrumen antarabangsa berkenaan.
Sebaliknya kementerian menyifatkan DPP sebagai pendekatan untuk mengurus isu pelarian dan pemohon suaka secara teratur serta berperikemanusiaan selaras dengan undang-undang, kepentingan nasional dan kedaulatan negara.
“Pendekatan Kerajaan MADANI jelas dalam mengurus isu ini melalui nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras MADANI, namun ia mesti dilakukan secara terbuka, telus dan mengikut lunas undang-undang,” menurut KDN.
Kementerian berkata langkah itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengimbangi pertimbangan kemanusiaan dan keperluan keselamatan negara.
“Dengan itu, Kerajaan MADANI bertegas bahawa isu ini perlu ditangani secara menyeluruh, berhemah dan berperikemanusiaan, dan pada masa yang sama tegas, telus dan berlandaskan undang-undang demi keselamatan dan kedaulatan negara serta kepentingan rakyat Malaysia," kata kementerian.




Comments