top of page

Yakin pimpin negara: 'Pas terperangkap dalam gelembung mimpi'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 13
  • 2 min read

ree

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan ucapan pemimpin ulama pada Muktamar Pas ke-71 yang berlangsung dari 11 hingga 15 September ini di Kedah sebagai sekadar mimpi untuk berkuasa tanpa melihat realiti kehidupan rakyat.


Katanya, Pas masih terperangkap dalam gelembung politiknya sendiri apabila sibuk bermimpi memerintah negara, tetapi lupa untuk memeriksa realiti di luar dewan muktamar.


Menurut Mahfuz, keyakinan Pas untuk memimpin negara tidak berasaskan rekod cemerlang tetapi hanya angan angan parti itu sahaja.


"Pas bercakap tentang “keyakinan untuk memimpin negara”. Persoalannya, keyakinan berdasarkan apa?


"Berdasarkan rekod kerjasama dengan Bersatu yang membawa kepada krisis kepimpinan negara dan pemerintah yang gagal menangani inflasi serta kenaikan harga barang semasa Covid 19. Atau berdasarkan janji-janji manis yang hanya tinggal janji? Rakyat sudah muak dengan retorik, yang rakyat mahu ialah tindakan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz juga mengkritik dakwaan Pas bahawa kepimpinan mereka stabil dan diyakini.


"Kestabilan untuk siapa? Untuk parti dan pemimpin atau untuk rakyat?


"Jika benar stabil, mengapa isu seperti pencemaran sungai, pengurusan air, dan kesusahan hidup rakyat masih berleluasa di negeri yang di perentah oleh Pas?


"Rakyat tidak perlukan pemimpin yang hanya stabil duduk di kerusi empuk, tetapi rakyat mahu pemimpin yang stabil bekerja untuk rakyat," ujarnya.


Menyentuh strategi Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke 16, Mahfuz mendakwa parti itu masih bermain politik perkauman dan sentimen lapuk.


"Rakyat Malaysia sudah berubah, mereka mahukan politik yang matang, inklusif, dan berorientasikan pembangunan dan keamanan berteraskan perpaduan antara kaum dan agama. Pas nampaknya masih terkial-kial di zaman lampau," sinisnya.


Beliau turut mengingatkan kembali kerjasama Pas dengan Bersatu serta sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11.


"Adakah itu contoh “kepimpinan yang diyakini”? Kerjasama yang membawa kepada huru-hara politik, pengagihan portfolio menteri yang bermasalah, dan ketidakstabilan sehingga menggugat pelaburan dan ekonomi negara?


"Rakyat masih trauma dengan episod itu. Jangan jadikan rakyat sebagai bahan eksperimen untuk permainan kuasa," katanya.


Mahfuz juga menyifatkan empat negeri yang diterajui Pas, termasuk Kedah, gagal menunjukkan kecekapan dan keberkesanan dalam pentadbiran.


"Retorik untuk “memimpin negara” adalah kosong jika tidak disertai dengan kemampuan menyatukan rakyat berbilang bangsa, membela semua pihak, dan mengutamakan kebajikan rakyat.


"Rakyat sudah letih dengan politik yang memecahbelahkan. Mereka mahukan pemimpin yang berfikir untuk negara, bukan untuk kepentingan diri dan parti dan bukan sekadar mimpi untuk berkuasa," katanya.


Tindakan Pas menjadikan Kedah sebagai lokasi strategik untuk mencapai hasrat mereka, kata Mahfuz, hanya menunjukkan kelemahan parti itu kerana kepimpinan kerajaan Kedah tidak dapat menunjukan kompetensi dan efisiensi dalam pentadbiran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page