Usir Orang Asal: Kerajaan T'ganu perlu wujudkan kawasan gantian
- Suara Keadilan

- 1 minute ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Arahan pengosongan penempatan komuniti Orang Asal di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, disifatkan KEADILAN Terengganu sebagai isu kemanusiaan serius yang melibatkan hak hidup, keselamatan dan kebajikan 14 keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada kawasan tersebut.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias menegaskan, Kerajaan Negeri digesa menangguhkan sebarang tindakan pengusiran dan segera mengadakan rundingan menyeluruh melibatkan wakil komuniti Orang Asal, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang yang adil serta mampan.
"Kami komited untuk mengambil langkah-langkah seperti menggerakkan usaha perundingan dengan wakil komuniti Orang Asal, NGO berkaitan dan pihak berkepentingan bagi memahami keperluan sebenar komuniti terlibat secara langsung dan berfakta.

"Kami juga komited untuk menyelaras penglibatan wakil rakyat KEADILAN di peringkat Persekutuan untuk membawa isu ini kepada kementerian dan agensi berkaitan, termasuk JAKOA, agar penyelesaian bersifat antara-kerajaan dapat dipertimbangkan.
"Selain itu, KEADILAN Terengganu juga turut memudah cara kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan bantuan kemanusiaan jangka pendek seperti keperluan asas, pendidikan kanak-kanak dan sokongan kesihatan dapat disalurkan secara tersusun dan berterusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Aiman menegaskan sebarang tindakan pengusiran tanpa pelan penempatan semula yang jelas, selamat dan munasabah hanya akan memburukkan keadaan serta mendedahkan komuniti berkenaan kepada risiko kemiskinan, keterasingan dan ketidakpastian yang lebih serius.
Ujarnya, pendekatan sedemikian bercanggah dengan prinsip keadilan sosial dan nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi teras tadbir urus.
"Kami juga ingin menjelaskan bahawa parti ini tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha membawa masuk atau menempatkan Orang Asal ke mana-mana tanah kerajaan negeri Terengganu.
"Dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan mengelirukan. Berhubung dakwaan yang mengaitkan seorang individu tertentu, KEADILAN Terengganu menegaskan bahawa individu tersebut bukan lagi pimpinan parti dan peranannya hanyalah sebagai orang tengah bagi tujuan kebajikan, khususnya dalam membantu komunikasi antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (Insaf Malaysia) dan komuniti Orang Asal, tanpa sebarang agenda politik atau kepartian,’’ jelas beliau lagi.
"Kedua-dua kerajaan harus membuktikan komitmen sebenar terhadap keadilan, kemanusiaan dan tanggungjawab sejarah agar masyarakat Murut tidak terus menjadi mangsa kepada keputusan yang dibuat tanpa suara mereka sendiri," katanya.









Comments