Sempadan baharu: Malaysia, Indonesia perlu beri penjelasan nasib kaum Murut
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan Malaysia dan Indonesia diharap memberikan penjelasan rasmi yang telus kepada masyarakat Suku Kaum Murut dan waris tanah adat susulan perkembangan terkini berkaitan penetapan sempadan baharu Malaysia–Indonesia di Sabah.
Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM), Raymond Ahuar, berkata kedua-dua kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana keputusan persempadanan berkenaan memberi kesan langsung terhadap hak sejarah, pemilikan tanah adat serta identiti komuniti Murut yang telah mendiami kawasan berkenaan sejak turun-temurun.
"Sejarah membuktikan sebelum kewujudan sempadan negara moden, nenek moyang masyarakat Murut telah lama mendiami, mengusahakan serta mewarisi wilayah ini.
"Oleh itu, sebarang keputusan berkaitan sempadan negara tidak boleh dibuat secara sepihak tanpa penglibatan masyarakat asal," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Isu persempadanan semula Malaysia–Indonesia di Sabah kembali menjadi perhatian selepas kedua-dua negara memuktamadkan beberapa titik sempadan darat melibatkan kawasan pedalaman termasuk wilayah yang mempunyai penempatan masyarakat adat.
Laporan media menyebut tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara (Indonesia) kini berada dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.
Ketiga-tiga kampung itu ialah Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas.
Proses penandaan sempadan itu merupakan sebahagian daripada rundingan dua hala jangka panjang bagi menyelesaikan baki pertikaian sempadan yang berlarutan sejak era kolonial.
Menurut Raymond, pendekatan yang terlalu teknokratik tanpa rundingan menyeluruh bersama komuniti tempatan berisiko mengabaikan realiti sosial, budaya dan sejarah masyarakat Murut yang terkesan secara langsung.
"Perubahan status pentadbiran wilayah bukan isu kecil. Ia memberi kesan besar kepada identiti, keselamatan, kewarganegaraan dan kelangsungan hidup generasi akan datang," ujarnya.
Beliau turut menegaskan kedua-dua kerajaan bertanggungjawab menyediakan sokongan moral, psikososial serta perlindungan hak kepada komuniti terlibat bagi mengelakkan tekanan emosi, kekeliruan undang-undang dan rasa terpinggir dalam kalangan masyarakat Murut.
Selain itu, PKKMM menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia merangka pelan pembangunan yang jelas, inklusif dan berjangka panjang bagi kawasan terlibat, merangkumi aspek infrastruktur, peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan serta kebajikan sosial.
"Pembangunan ini bukan satu ihsan, tetapi hak masyarakat Murut sebagai komuniti asal yang telah menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan hubungan dua hala kedua-dua negara sejak sekian lama," katanya.
Dalam pada itu, Raymond berkata peranan Jawatankuasa Sosial dan Ekonomi Malaysia–Indonesia (SOSEK MALINDO) perlu diperkasakan agar tidak sekadar wujud di peringkat dasar, sebaliknya berfungsi secara efektif dengan penglibatan langsung wakil masyarakat Murut di kedua-dua belah sempadan.
"Penglibatan komuniti mesti dijadikan keutamaan supaya warisan budaya bersama dapat dipelihara dan ketegangan akibat perubahan sempadan dapat dielakkan," jelasnya.
Beliau menegaskan nasib dan maruah bangsa Murut tidak wajar dipinggirkan atas nama sempadan negara.









Comments