top of page

Krisis Perlis: Pas gagal urus perbezaan, rakyat jadi mangsa catur politik?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Krisis politik yang melanda Perlis didakwa bukan lagi sekadar isu dalaman parti, sebaliknya telah berkembang menjadi krisis keyakinan awam terhadap keupayaan Pas mengurus kuasa secara adil, berprinsip dan berakhlak.


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata percanggahan terbuka antara keputusan Presiden Pas dan kenyataan Mursyidul Am Pas berhubung pemecatan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis jelas menunjukkan kelemahan serius dalam struktur kepimpinan parti itu.


"Percanggahan terbuka antara keputusan Presiden Pas dengan kenyataan Mursyidul Am bahawa pemecatan 3 ADUN masih boleh disemak Majlis Syura membuktikan satu hakikat pahit, Pas sedang berhadapan krisis autoriti, krisis kepimpinan dan krisis kejelasan prinsip," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Mahfuz, kegagalan menangani konflik secara adil telah menyebabkan rakyat di kawasan DUN terlibat menjadi mangsa kepada perbalahan dalaman parti, apabila mereka bukan sahaja kehilangan wakil rakyat, malah dihukum dua kali akibat perebutan kuasa.


"Lebih malang, konflik ini tidak diselesaikan secara adil, sebaliknya rakyat di DUN terbabit dihukum dua kali. kehilangan wakil rakyat dan diseret menjadi mangsa perbalahan dalaman parti," ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa Islam tidak mengajar ketaatan membuta tuli, sebaliknya mengangkat keberanian menegur, berbeza pandangan dan menuntut keadilan sebagai asas dalam siasah Islam.


"Namun dalam krisis Perlis, Pas memilih politik lama, menutup ruang perbezaan, menghukum mereka yang bersuara dan menggunakan kuasa sebagai alat disiplin," katanya lagi.


Mahfuz menegaskan bahawa krisis di Perlis wajar dijadikan amaran nasional terhadap kemampuan Pas mentadbir negara yang lebih besar dan majmuk.


"Jika Pas gagal mengurus perbezaan dalam parti sendiri, maka ia tidak layak memimpin sebuah negara majmuk yang jauh lebih kompleks.


"Rakyat tidak boleh terus dijadikan sandera emosi politik dan mangsa dendam kuasa," tegas beliau.


Untuk rekod, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin dipetik media kelmarin menyifatkan hukuman menggugurkan keahlian tiga ADUN Pas di Perlis dilakukan secara tergesa-gesa tanpa merujuk Majlis Syura Ulama.


Katanya, Majlis Syu­ra Ulama akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci rayuan berhubung status keahlian yang dikemukakan tiga bekas ADUN terbabit, iaitu Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page