KEADILAN Kuantan anjur siri latihan induksi, perkukuh jentera akar umbi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Sebagai langkah memperkukuh organisasi parti dan persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), KEADILAN Cabang Kuantan telah memulakan siri latihan induksi bulanan untuk anggota serta pimpinan ranting baharu bermula Januari 2026.
Latihan Induksi 1/2026 yang berlangsung di Dewan Latihan Sri Teja Wanita KEADILAN Kuantan, Bandar Putra, melibatkan seramai 30 anggota baharu dan kepimpinan utama ranting yang baru ditubuhkan di Cabang Kuantan.
Antara ranting terlibat ialah Ranting Seri Kuantan Madani, Ranting Bukit Ubi, Ranting Cenderawasih Madani dan Ranting Alor Akar Madani, yang kesemuanya berada dalam kawasan DUN Teruntum, Parlimen Kuantan.
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan merangkap Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, latihan induksi ini memberi penekanan kepada kefahaman asas perjuangan parti, sejarah penubuhan serta struktur organisasi KEADILAN.

"Pengisian utama latihan ini ialah sejarah parti, struktur organisasi serta 18 matlamat perjuangan yang dimuktamadkan dalam Perlembagaan parti, supaya setiap anggota benar-benar memahami asas perjuangan reformasi," katanya.
Beliau turut mengimbas perjalanan awal gerakan reformasi sejak September 1998 yang membawa kepada penubuhan parti pada 4 April 1999 serta penyertaan pertama dalam Pilihan Raya Umum pada November 1999.
"Asas perjuangan KEADILAN bersumberkan idealisme reformasi seperti yang dinukilkan dalam Deklarasi Permatang Pauh pada 6 September 1998 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Idealisme inilah yang mesti terus difahami dan dihayati oleh generasi awal mahupun anggota baharu yang menyertai parti selepas PRU15," jelas beliau.
Menurut Fakhrul Anuar, setakat 31 Disember 2025, jumlah keanggotaan KEADILAN Cabang Kuantan telah mencecah 4,664 orang, menunjukkan perkembangan positif sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.
Dengan sokongan dua sayap utama cabang iaitu Wanita KEADILAN Kuantan di bawah pimpinan Sridayu Samsuri dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang yang diterajui Hilmy Yakap, serta jaringan 53 buah ranting di seluruh Parlimen Kuantan, beliau yakin jentera parti di peringkat akar umbi dapat terus diperkukuh.
"Latihan induksi akan diteruskan sepanjang tahun 2026 bagi memugar idealisme perjuangan dan memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti, demi memastikan Parlimen Kuantan dapat dirampas kembali oleh KEADILAN," katanya lagi.









Comments