Pengukuhan Ringgit isyarat positif, terjemah kepada keselesaaan hidup rakyat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ke paras tertinggi dalam hampir tujuh tahun disifatkan sebagai satu isyarat positif terhadap keyakinan pasaran antarabangsa, namun kerajaan diingatkan agar tidak terperangkap dalam rasa selesa tanpa menangani realiti tekanan kos sara hidup rakyat.
Aktivis masyarakat, Lai Chen Heng berkata prestasi ringgit yang memberangsangkan wajar diberi pengiktirafan kerana mencerminkan penilaian positif pasaran terhadap kestabilan politik serta hala tuju tadbir urus negara.
"Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS ke paras tertinggi sememangnya memberikan suntikan keyakinan yang jarang berlaku kepada ekonomi negara, selain mencerminkan penilaian positif pasaran antarabangsa terhadap kestabilan politik dan hala tuju tadbir urus negara. Dalam hal ini, kerajaan wajar diberi pengiktirafan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kestabilan politik, kecekapan pentadbiran dan komitmen membanteras rasuah merupakan faktor utama pemulihan keyakinan pasaran.

"Dalam suasana persaingan serantau yang sengit dan ketidaktentuan ekonomi global yang berlarutan, keupayaan ringgit menunjukkan prestasi relatif kukuh membuktikan pelabur memberikan tahap kepercayaan yang lebih tinggi terhadap kesinambungan dasar dan keupayaan pengurusan makroekonomi negara," katanya.
Namun demikian, Lai menegaskan bahawa pengukuhan ringgit tidak seharusnya ditafsir sebagai tanda kejayaan muktamad agenda reformasi ekonomi.
"Pengukuhan nilai ringgit harus dilihat sebagai “undi keyakinan awal” daripada pasaran, bukannya tanda agenda reformasi telah selesai.
"Sekiranya prestasi semasa ditafsir sebagai kemenangan struktural tanpa memberi perhatian kepada pembaharuan ekonomi yang lebih mendalam, kekuatan ringgit berisiko menjadi sekadar pemulihan sementara," jelasnya.
Pada sisi lain, beliau menekankan kewujudan jurang ketara antara prestasi makroekonomi dan realiti kehidupan seharian rakyat, khususnya dalam isu kos sara hidup.
Katanya bagi pasaran, ringgit yang mengukuh adalah petunjuk keyakinan. Namun bagi kebanyakan isi rumah, harga barangan keperluan belum turun dengan jelas dan beban kehidupan harian masih tinggi. Jurang ini, jika dibiarkan, boleh melemahkan sokongan rakyat terhadap agenda reformasi
Menurut beliau, kekuatan mata wang tidak akan membawa makna sekiranya tidak diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih stabil, pertumbuhan pendapatan dan kos sara hidup yang lebih mampu ditanggung.
Selain itu, Lai turut mengingatkan bahawa kestabilan jangka panjang ringgit bergantung kepada disiplin fiskal yang konsisten, reformasi institusi yang kukuh serta tadbir urus berintegriti yang mampu bertahan merentas perubahan politik.
Beliau turut menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap kesan dua hala mata wang yang kukuh terhadap sektor eksport dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Tanpa langkah sokongan sejajar seperti peningkatan produktiviti, naik taraf industri dan pakej penampan untuk PKS, ringgit yang kukuh berisiko memperbesarkan kelemahan struktur sedia ada," katanya.
Justeru, Lai berpandangan pengukuhan ringgit ketika ini perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk mempercepatkan reformasi struktur ekonomi.
"Inilah tempoh paling sesuai untuk kerajaan meneruskan pembaharuan cukai, subsidi, industri dan tadbir urus, dan pada masa yang sama menuntut keteguhan politik yang tinggi.
"Sekiranya keyakinan jangka pendek pasaran dapat diterjemahkan kepada kepercayaan institusi jangka panjang, barulah ekonomi negara benar-benar berdiri kukuh," tegas beliau.









Comments