WHO puji komitmen, penglibatan aktif Malaysia dalam isu kesihatan
- Azuan Ab Rahman
- 10 hours ago
- 1 min read

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penghargaan atas komitmen dan penglibatan aktif Malaysia dalam isu kesihatan antarabangsa, serta peranan konstruktif dalam memperkukuh kerjasama global berteraskan solidariti.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penghargaan itu dizahirkan sendiri Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus (gambar) semasa lawatan rasmi ke Malaysia.
"Kerjasama antara Malaysia dengan WHO turut memperkukuh kesiapsiagaan negara dan sistem amaran awal terhadap ancaman penyakit berjangkit menerusi rundingan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa serta Perjanjian Pandemik.
"Usaha ini memastikan Malaysia lebih pantas mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang krisis kesihatan masa hadapan, sekali gus meminimumkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan kelangsungan sosial rakyat," menurut kenyataan berkenaan.
Kementerian Kesihatan menyifatkan lawatan Tedros sebagai mencerminkan hubungan kerjasama erat, strategik dan berterusan antara Malaysia dengan badan dunia itu.
Ia juga membawa kesan positif langsung kepada rakyat Malaysia dari segi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam, khususnya melalui rundingan Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat bawah Kumpulan Kerja Antara Kerajaan yang sedang berlangsung.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan penglibatan aktif Malaysia pada peringkat WHO adalah bagi memastikan suara rakyat negara ini terus diberi perhatian dalam landskap kesihatan global.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan WHO bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, inklusif dan bersedia mendepani sebarang cabaran kesihatan global demi kesejahteraan rakyat.
