top of page

Kerajaan MADANI rangka garis panduan tangani isu pekerja Muslim

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 minutes ago
1 min read
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

Kerajaan MADANI sedang merangka garis panduan khusus bagi menangani isu pekerja Muslim yang mengendalikan barangan tidak halal di premis perniagaan bercampur.


Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, JAKIM menerusi Bahagian Perundangan Syariah telah mengadakan sesi libat urus bersama DBKL, Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Sumber Manusia.


Sesi tersebut bagi mendapatkan pandangan serta mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk menangani isu itu.


"Antara pendekatan yang diberi perhatian adalah penyediaan garis panduan kepada orang Islam bekerja di premis bercampur khususnya yang menjalankan aktiviti perniagaan membabitkan barangan halal dan tidak halal seperti arak.


"Selain itu, pendekatan yang diambil ialah memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pelaksanaan undang-undang kecil dan mekanisme pelesenan sedia ada secara lebih efektif," jelasnya.


Beliau berkata begitu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli menyeru rakyat agar tidak mudah percaya kepada dakwaan di media sosial yang kononnya Islam semakin terancam dan mundur di Malaysia.


Menurutnya, peningkatan peruntukan hal ehwal Islam setiap tahun membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan Islam serta memastikan syiar agama itu terus berkembang di negara ini.


"Peruntukan meningkat daripada RM1.5 bilion pada 2023 kepada RM1.9 bilion pada 2024 sebelum mencecah RM2 bilion pada 2025.


"Tahun ini naik lagi RM600 juta kepada RM2.6 bilion. Tahun depan meningkat lagi setengah bilion kepada RM3.1 bilion untuk hal ehwal Islam," jelasnya pada program Ayer Molek Berselawat baru-baru ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page