Gesa bubar parlimen: Umno terdesak?


Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan gesaan supaya parlimen segera dibubarkan disifatkan sebagai langkah terdesak menyelamatkan parti itu.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad (gambar) berkata Umno-Barisan Nasional (BN) sedang berada dalam situasi terdesak dan dilihat tidak mempunyai hujah kukuh untuk menjawab kritikan terhadap rekod pentadbiran mereka sebelum ini.
Malah bagi mengelirukan rakyat, mereka cuba menyamakan pihak lain dengan kelemahan yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Dia tak nafi apa yang dia buat. Semua keburukan yang dilakukan oleh Umno-BN dia tak boleh nafikan.
"Dia nak kata dia bersih, dia mentadbir dengan baik. Satu dunia dah tahu. Dia tak begitu.
"Apa yang dia boleh kata ialah, awak pun sama je lah, dua kali lima, lima kali dua lah. Tapi tak ada bukti," katanya dipetik laporan media.
Zahid baru-baru ini sekali lagi mencadangkan supaya parlimen dibubarkan bagi mendapat mandat baharu.
Gesaan itu ketika ada cadangan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan Kabinet susulan perkembangan membabitkan kedudukan beberapa anggota pentadbiran kerajaan.
Cadangan Zahid itu turut dipersoalkan beberapa pihak susulan komitmennya sebelum ini untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Sementara itu menurut Khalid, Umno mengambil kesempatan mendesak pembubaran Parlimen ketika sebahagian masyarakat Melayu masih terpengaruh dengan gabungan Umno-Pas dan ketika maklumat mengenai perkembangan politik semasa belum tersebar meluas ke kawasan luar bandar.




Comments