Tebatan banjir: Selangor peruntukkan lebih RM36 juta, 47 projek


Kerajaan Selangor memperuntukkan dana RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata dana disediakan menerusi Belanjawan Selangor 2027 itu untuk membiayai 30 projek sambungan dan 17 projek baharu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Daripada 30 projek sambungan tersebut, 13 projek jelasnya sudah siap dan sedang melalui penyediaan akaun muktamad, sembilan projek sedang dilaksanakan, dua projek di peringkat pra-tender dan enam projek di peringkat reka bentuk.
"Keutamaan kita ialah mempercepat kerja yang sudah sedia dilaksanakan dan menyelesaikan urusan tanah serta penyelarasan lebih awal bagi projek yang bakal menyusul.
"Projek tebatan banjir di Anak Sungai Damansara, Petaling, berjaya disiapkan pada tahun 2026. Sementara satu lagi projek di peringkat reka bentuk, 11 projek dalam proses pelantikan perunding dan lima projek masih di peringkat perancangan.
"Daripada seluruh peruntukan, sebanyak RM9.15 juta membabitkan Lembangan Sungai Klang dan RM7.35 juta membabitkan Lembangan Sungai Langat," katanya dipetik ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2027 berjumlah RM3.3 bilion di Dewan Undang Negeri (DUN) pada Jumaat.
Menurut Amirudin, peruntukan tersebut turut meliputi Lembangan Sungai Buloh, Sungai Selangor, Sungai Bernam dan Kapar Besar serta kerja persediaan seperti reka bentuk, ukur dan urusan tanah.
Sementara itu tambahnya, sebagai pendekatan jangka panjang, RS-2 meletakkan 354 kawasan berisiko banjir dalam skop agenda prasarana pembasmian banjir negeri.
Di bawah projek mitigasi banjir di bawah Selangor Maritime Gateway (SMG ZPE), kerajaan negeri mencadangkan sebanyak RM25 juta bagi meneruskan kerja meningkatkan kapasiti sungai dan memperbaiki aliran air.
"Melalui Selangor Flood Mitigation Plan, atau SelF MiP, kita akan menyusun keutamaan mengikut risiko di seluruh lembangan, menilai keberkesanan projek yang sudah dilaksanakan dan menyelaraskan kerja negeri dengan Kerajaan Persekutuan," katanya.




Comments