top of page

Warga Myanmar mula dihantar pulang, kerajaan atasi masalah keselamatan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read
Warga Myanmar dikawal rapi di pengkalan Tentera Laut Lumut sebelum dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal tentera laut Myanmar. Foto: Kementerian Dalam Negeri
Warga Myanmar dikawal rapi di pengkalan Tentera Laut Lumut sebelum dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal tentera laut Myanmar. Foto: Kementerian Dalam Negeri

Kerajaan memuktamadkan penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar dari Depot Tahanan Imigresen secara sukarela dan berperingkat, sebagai sebahagian usaha menangani isu legasi pelarian asing di Malaysia.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, sehingga 15 Ogos 2026, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.


Menurut KDN, daripada jumlah itu, 5,000 warga Myanmar dimuktamadkan untuk mengikuti program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, berdasarkan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu terbabit untuk pulang.


"Hari ini, seramai 1,476 individu telah memulakan Fasa Pertama program penghantaran pulang, berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Kerajaan Myanmar melalui Nota Diplomatik rasmi," kata kenyataan itu.


KDN berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian pendekatan Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan permasalahan legasi yang berlarutan sekian lama, berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.


Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, kerajaan menegaskan pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN.


Menurut KDN, rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bersama penguatkuasaan undang-undang membolehkan pengurusan warga asing dan individu yang mendakwa sebagai pelarian dibuat berdasarkan identiti serta status yang dikenal pasti.


"Pendekatan ini membolehkan tindakan susulan dibuat secara lebih teratur berdasarkan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa," katanya.


KDN berkata, fasa penghantaran pulang seterusnya akan diteruskan tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara Malaysia dan Myanmar.


Kementerian itu turut menyifatkan pelaksanaan Fasa Pertama sebagai gambaran kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan legasi yang telah berlarutan sekian lama secara tegas, tersusun dan berkesan.


"Langkah ini turut memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan serius dalam menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik," katanya.


AFP dipetik berkata, puluhan bas tiba dengan diiringi polis di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, berhampiran Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak pagi tadi sebelum warga Myanmar dibawa ke pelabuhan.


Dalam pada itu, KDN menegaskan kerajaan mendengar keluhan orang ramai terutama di media sosial berkenaan faktor keselamatan dan ketenteraman awam yang melibatkan pelarian dan warga asing yag masuk secara tidak sah.


"Keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan," kata KDN lagi.

1 Comment


Valerii
an hour ago

I read the article about teenagers and online gaming last month and that whole debate really is no joke when you think about how easily young people get pulled into unhealthy habits—it's not just about the games themselves but the lack of guardrails. The idea of a psychology act sounds heavy but honestly, some structure is needed, and having clear regulations takes away the confusion parents face when trying to set boundaries. What caught my attention this time is the focus on prevention rather than punishment and the fact that more voices are calling for action, so I'm following the discussion. I've also been reading about responsible gaming tools and came across a detailed breakdown about we1win minimum withdrawal, covering…

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page