PH Sabah sambut baik pendirian Hajiji kekalkan kerjasama GRS-BN-PH


Pakatan Harapan (PH) Sabah memberikan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk meneruskan kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH dalam pentadbiran kerajaan negeri demi menjamin kestabilan politik di negeri itu.
Pengerusinya Datuk Mustapha Sakmud berkata kestabilan politik yang kukuh amat penting bagi membolehkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelaksanaan projek pembangunan serta penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat.
"Perkara paling utama ialah memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, jalan raya dibaiki dan projek tebatan banjir siap mengikut jadual," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) menyatakan kesepakatan erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuahkan pelbagai hasil positif untuk Sabah.
Antara pencapaian utama hasil hubungan baik tersebut termasuklah kenaikan pemberian khas interim kepada Sabah yang meningkat kepada RM1.5 bilion pada tahun ini selain komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan memperakui dan menyelesaikan isu hak 40 peratus hasil negeri selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kesediaan Ketua Menteri untuk terus bekerjasama dengan PH dan BN mencerminkan jiwa besar kepimpinan beliau dalam menyatukan rakan-rakan komponen meskipun mempunyai latar belakang dan pandangan politik yang berbeza.
"Pendirian ini menunjukkan bahawa kepentingan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan walaupun dalam kerencaman politik yang semakin dinamik," ujarnya.
Terdahulu Hajiji dilaporkan berkata bahawa kerjasama strategik antara GRS, BN dan PH akan diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen serta Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan perincian lanjut bakal dibincangkan bersama bagi mencapai kata sepakat.




Comments