top of page

PH Terus Pertahan Prinsip Setia Kawan

Writer: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
51 minutes ago
2 min read

Rakyat tidak buta dan bodoh, apabila tiba masanya rakyat akan membuat keputusan yang tepat di peti undi

ULASAN: Perkembangan politik mutakhir memperlihatkan ketegangan hubungan antara Umno dan PH dalam Kerajaan MADANI. Isu ini mula hangat apabila beberapa pemimpin Umno dilihat semakin lantang mengkritik kerajaan yang turut mereka anggotai, malah timbul desakan supaya PMX membubarkan parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU16.


Situasi ini menimbulkan persoalan tentang komitmen Umno terhadap kestabilan Kerajaan Madani, khususnya apabila parti berkenaan masih menikmati kedudukan dan pengaruh dalam pentadbiran kerajaan. Umno kini dilihat keliru terkait peranan meraka sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang dalam usaha mempertahankan polisi dan dasar yang dibangunkan oleh Kerajaan Madani.


Anggota, penyokong PH tidak puas hati


Desakan Umno terkait pembubaran parlimen lebih awal mula menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota dan pendokong PH. Keadaan ini membawa kepada desakan supaya Umno dinilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Madani, termasuk kemungkinan menyingkirkan parti itu daripada kedudukan dalam pentadbiran kerajaan.


Desakan tersebut mempunyai asasnya kerana jika Umno ingin berperanan sebagai pembangkang, maka mengapa perlu mereka berada di dalam kepimpinan Kerajaan Madani. Pemuda PH adalah antara pihak yang lantang mendesak menteri dan timbalan menteri daripada Umno meletakkan jawatan rentetan krisis Kerajan Madani Negeri Sembilan yang dimulakan oleh Umno Negeri Sembilan. Namun desakan berterusan terhadap Umno disambut dengan jawapan agar PRU16 disegerakan.


Memahami perasaan setiap anggota dan pendokong PH terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh Umno, desakan yang dilakukan sememangnya berasas dan munasabah. Namun semua pihak harus sedar bahawa pembentukan Kerajaan Madani bermula daripada titah dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ketika negara berhadapan situasi parlimen tergantung selepas PRU15.


Kerjasama antara PH dan BN menjadi asas penting kepada pembentukan Kerajaan Madani sebelum diperluaskan dengan penyertaan parti politik lain. Justeru, kedudukan Umno hari ini tidak boleh diketepikan tanpa melihat sejarah awal penubuhan Kerajaan Madani.


Landasan setia kawan


PH yang diterajui oleh PMX memimpin Kerajaan Madani atas landasan prinsip setiakawan dan sikap saling menghormati. Walaupun kini PH boleh meneruskan kepimpinan Kerajaan Madani tanpa Umno, namun penyingkiran Umno daripada Kerajaan Madani memberi isyarat bahawa kepimpinan PH tidak berprinsip dan menghormati sejarah penubuhan Kerajaan Madani.


PH bukanlah seperti Umno yang sanggup bertukar-tukar pasangan politik demi memastikan penguasaan kuasa berada di dalam genggaman mereka. PH membuktikan semangat setia kawan sejak zaman Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. PH tidak pernah meninggalkan prinsip setia kawan, namun PH sentiasa isstiqamah dan reda apabila rakan khianat dan meninggalkan perjuangan.


Justeru anggota dan pendokong PH harus sedar dan akur dengan keputusan kepimpinan untuk terus bergerak atas prinsip setia kawan dalam mengemudi Kerajaan Madani. Anggota dan pendokong PH berhak mengkritik dan menyatakan perasaan tidak puas hati masing-masing, ‘democracy has always been loud and raucous’.


Teruskan menyatakan pandangan dan kritikan anda, namun jangan sampai melampaui rasa hormat terhadap prinsip yang dipertahankan oleh kepimpinan PH. Rakyat kini sedang memerhati dan menilai setiap keputusan dan tindakan kepimpinan politik, PH harus terus mempertahankan prinsip setiakawan dan menjauhi perbuatan khianat. Rakyat tidak buta dan bodoh, apabila tiba masanya rakyat akan membuat keputusan yang tepat di peti undi.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Negeri Selangor Darul Ehsan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page