top of page

GST: BN belum tawan Putrajaya, poket rakyat sudah diintai

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
15 minutes ago
3 min read
Orang ramai hadir pada Program Jualan RAHMAH MADANI Premium di Anjung Seri dan Anjung Kasih, KPDN, Presint 2, Putrajaya, 20 November 2026. Foto Ihsan KPDN melalui Facebook
Orang ramai hadir pada Program Jualan RAHMAH MADANI Premium di Anjung Seri dan Anjung Kasih, KPDN, Presint 2, Putrajaya, 20 November 2026. Foto Ihsan KPDN melalui Facebook


Barisan Nasional (BN) dibidas kerana lebih ghairah memikirkan usaha mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika kembali menguasai Putrajaya berbanding memberi perhatian kepada tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka Eddiarman Mohd Yunos berkata hasrat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu memperlihatkan keutamaan politik gabungan berkenaan yang dilihat tidak selari dengan kebimbangan rakyat mengenai peningkatan perbelanjaan harian.


"Terus terang, saya rasa tawaran seperti ini menunjukkan betapa jauhnya keutamaan politik BN daripada kebimbangan masalah rakyat. Orang sedang fikir macam mana hendak cukupkan belanja keluarga, BN pula begitu bersemangat hendak mengembalikan cukai.


"Belum mendapat mandat, sudah disebut apa yang mahu dikutip daripada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Laporan media tempatan semalam menyebut Ahmad Zahid berikrar mengembalikan GST sekiranya BN berjaya menawan semula Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).


Dalam ucapannya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, beliau mendakwa lebih 170 negara melaksanakan GST dan menyifatkan Malaysia ketinggalan kerana masih menggunakan SST.


Katanya MCA perlu terus memperjuangkan pelaksanaan semula cukai berkenaan selain menyifatkan GST lebih adil dan berfokus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


Beliau turut memuji pelaksanaan GST ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disambut sorakan 'Bossku' oleh perwakilan MCA.



Eddiarman (gambar kecil) berkata kelebihan teknikal GST termasuk mekanisme kredit cukai input yang boleh mengurangkan pertindihan cukai dalam rantaian perniagaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kemampuan rakyat menanggung beban cukai penggunaan.


Menurut beliau golongan berpendapatan rendah menggunakan sebahagian lebih besar pendapatan mereka bagi membeli keperluan asas sekali gus menyebabkan cukai penggunaan menyeluruh berpotensi memberikan kesan lebih berat kepada kumpulan berkenaan.


"RM100 kepada keluarga berpendapatan RM2,000 tidak sama kesannya dengan RM100 kepada keluarga berpendapatan RM20,000.


"Angkanya sama, tetapi bagi satu keluarga, jumlah itu mungkin menentukan apa yang boleh dibeli untuk beberapa hari," katanya.


Beliau berkata pendirian itu turut selari dengan penjelasan Kementerian Kewangan pada 29 Oktober lalu bahawa kerajaan belum mempertimbangkan pelaksanaan semula GST selagi kos sara hidup masih membebankan rakyat.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini menjelaskan GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk barangan dan perkhidmatan.


"Sebab itu saya kurang bersetuju apabila GST dipromosikan seolah-olah pertukaran sistem cukai dengan sendirinya akan menjadikan kehidupan rakyat lebih baik.


"Kesan sebenar bergantung pada kadar, barangan yang dikenakan cukai, pengecualian dan bantuan yang disediakan," ujarnya.


Bagaimanapun, Eddiarman berkata beliau tidak menganggap SST sebagai sistem percukaian yang sempurna kerana masih mempunyai kelemahan termasuk risiko cukai bertindih dan pemindahan kos kepada pengguna melalui harga barangan.


Namun katanya skop SST yang lebih terpilih membolehkan kerajaan menentukan barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai dengan mengambil kira kemampuan rakyat.


Dalam hal ini, beliau mencabar BN supaya memperincikan cadangan pelaksanaan semula GST termasuk kadar cukai, senarai barangan yang dikecualikan, kesan terhadap perbelanjaan isi rumah serta mekanisme bantuan kepada golongan yang terjejas.


"Rakyat berhak melihat kira-kira yang lengkap sebelum diminta bertepuk tangan.


"BN bebas menawarkan dasar. Tetapi jangan terlalu ghairah menjual nostalgia sampai lupa menjelaskan siapa yang akan menanggung kosnya," katanya.


Beliau berkata sorakan 'Bossku' dalam dewan mungkin mampu membangkitkan semangat penyokong namun rakyat di luar dewan masih berdepan tanggungjawab membayar barangan dapur, sewa rumah, perbelanjaan persekolahan dan keperluan asas lain.


"Sorakan memang boleh memenuhi dewan tetapi untuk memenuhi bakul makanan rakyat, kita perlukan dasar yang jelas dan kira-kira yang jujur," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page