top of page

Wanita PH kecam Zahid, hentikan budaya persenda wanita

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
14 minutes ago
2 min read
Mashitah Ismail. Foto: FB Mashitah Ismail
Mashitah Ismail. Foto: FB Mashitah Ismail

Wanita Pakatan Harapan (PH) mengecam kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Ketua Wanita Umno yang didakwa menyentuh aspek fizikal dan perwatakan pemimpin wanita itu secara terbuka.


Ketua Setiausaha Wanita PH, Mashitah Ismail berkata tindakan berkenaan memperlihatkan budaya politik yang matang dalam kalangan pemimpin Umno.


"Wanita Pakatan Harapan Malaysia mengecam kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyentuh fizikal dan perwatakan beliau secara terbuka di pentas utama.


"Tindakan ini secara langsung mempamerkan mutu kepimpinan yang lemah, sifar rasa empati, serta merendahkan budaya politik negara," kata beliau dalam kenyataan.


Menurut Mashitah, tindakan memperlekehkan wanita secara terbuka amat mendukacitakan kerana Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang mulia serta mengajar umatnya menjaga maruah dan mengelakkan penghinaan.


Beliau berkata, perbuatan melabel pemimpin wanita dengan imej tertentu atau menjadikan bentuk tubuh badan sebagai bahan jenaka di khalayak ramai bukan sahaja bertentangan dengan etika kemanusiaan, malah bercanggah dengan tuntutan menjaga kehormatan sesama insan.


"Kejadian sedemikian amat mendukacitakan oleh kerana agama Islam itu sendiri meletakkan wanita di kedudukan yang sangat mulia. Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa menjaga maruah wanita serta melarang keras sebarang bentuk penghinaan mahupun ejekan fizikal seperti firman Allah SWT dalam Surah Al Hujurat, ayat 11," katanya.


Beliau yang juga Setiausaha Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menegaskan, sebagai contoh perbuatan melabel pemimpin wanita dengan imej

nenek-nenek atau menjadikan bentuk tubuh badan sebagai bahan jenaka di khalayak ramai bukan sahaja melanggar etika kemanusiaan, malah bertentangan secara terus dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita memelihara kehormatan sesama insan.


Katanya, peranan sayap wanita dalam parti politik tidak wajar dipandang ringan kerana ia antara jentera penting dalam mana-mana organisasi politik.


Penilaian terhadap kepimpinan wanita seharusnya dibuat berdasarkan kebolehan, integriti dan sumbangan.


"Penilaian ini tidak sepatutnya dijadikan subjek komedi bersandarkan ukuran fizikal. Tindakan merendahkan wanita berasaskan usia mencerminkan pemikiran yang dangkal, sekali gus menafikan sumbangan dan bakti besar golongan warga emas kepada masyarakat dan negara," ujarnya.


Beliau berkata persidangan politik sepatutnya menjadi medan perbahasan dasar yang membina masa depan rakyat, bukannya ruang untuk pemimpin wanita dijadikan bahan ulasan berkaitan fizikal.


Katanya, tindakan sedemikian juga boleh menjejaskan usaha meningkatkan penyertaan wanita dan generasi muda dalam politik.


Sehubungan itu, Wanita PH mendesak seluruh kepimpinan politik merentas parti menghentikan budaya politik yang dianggap cetek dan mengutamakan kritikan berasaskan fakta.


"Matangkan budaya politik dengan memberikan kritikan membina terhadap prestasi dan dasar bersandarkan fakta, bukannya menyerang peribadi atau rupa paras.


"Pelihara maruah wanita dengan menghormati hak, ruang dan martabat wanita di semua platform awam serta persidangan.


"Tunjukkan kepimpinan berakhlak dengan mempamerkan nilai diplomasi, kesantunan dan rasa hormat yang mencerminkan kematangan politik tanah air," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page