top of page

P Pinang umum bonus sebulan gaji penjawat awam negeri

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
1 min read
Ketua Menteri Chow Kon Yeow (tengah) sebelum pembentangan Belanjawan Pulau Pinang 2027
Ketua Menteri Chow Kon Yeow (tengah) sebelum pembentangan Belanjawan Pulau Pinang 2027

Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) bersamaan sebulan gaji kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri itu.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, insentif yang akan dibayar pada Disember ini merupakan tanda penghargaan terhadap komitmen, dedikasi serta sumbangan berterusan penjawat awam.


"Komitmen penjawat awam negeri sepanjang tahun ini membuahkan pengiktirafan membanggakan di peringkat nasional, sekali gus mencerminkan keberkesanan tadbir urus serta mutu penyampaian perkhidmatan awam negeri," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Jumaat.


Belanjawan tersebut memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.074 bilion dengan anggaran hasil RM1.069 bilion dan defisit sebanyak RM5.62 juta.


Selain BKK kepada penjawat awam negeri, Kon Yeow turut mengumumkan imbuhan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM300 kepada beberapa kumpulan penerima merangkumi pelbagai sektor pendidikan agama dan persendirian.


"Imbuhan turut diberi kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta kakitangan kedua-dua institusi berkenaan.


"Turut menerima imbuhan guru dan kakitangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), guru tahfiz, guru pondok serta guru Tadika Islam (TADIS). Ini termasuk guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina di sekitar Pulau Pinang," ujarnya.


Menurut beliau, bantuan diumumkan tersebut membabitkan keseluruhan 7,292 penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM16.207 juta.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page