300 penyokong iringi Ginie Lim di DUN Machap Jaya


Seramai kira-kira 300 penyokong hadir mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim, sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Dewan Japerun Machap Jaya, hari ini.
Turut mengiringi, Pemangku Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Datuk Seri R Ramanan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik serta Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli.
Mantan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, kehadiran penyokong dalam jumlah besar itu memperlihatkan sokongan padu parti terhadap Ginie yang bukan lagi nama asing kepada penduduk Machap Jaya.
Menurutnya, Ginie sudah melalui perjalanan politik yang panjang di kawasan berkenaan dengan hampir 20 tahun menabur khidmat dan mendekati masyarakat setempat.

"Memang meriah, kita lihat sokongan padu daripada parti untuk Datuk Ginie. Beliau juga bukan orang asing bagi pengundi di Machap Jaya.
"Yang luar biasa, kita menyaksikan beliau melalui perjalanan yang panjang di sini. Sekurang-kurangnya beliau sudah berada di sini hampir 20 tahun," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari penamaan calon PRN Melaka ke-16 di Dewan Japerun Machap Jaya, hari ini.
Kesetiaan hampir 20 tahun
Tian Chua berkata, meskipun Ginie hanya sekali memenangi pilihan raya pada 2018 di kawasan itu dan tidak sempat menghabiskan penggal dalam kerajaan negeri berikutan perubahan politik, beliau tetap setia meneruskan perjuangan bersama masyarakat setempat.
"Beliau menunjukkan kesetiaan kepada nilai-nilai perjuangan dan juga kepada pengundi Machap Jaya," katanya yang juga mantan Naib Presiden KEADILAN.
Mengulas kelebihan Ginie, beliau berkata calon berkenaan mempunyai sifat konsisten, rajin dan sentiasa mendekati rakyat tanpa bersikap sombong.
"Beliau seorang yang persisten, rajin, sangat mendekati rakyat dan tidak sombong. Ini antara sebab beliau digemari penduduk di Machap," katanya lagi.




Comments