Pengalaman Azman sebagai Setiausaha Politik PM kelebihan di Paya Rumput


Perarakan calon bagi DUN Paya Rumput yang ditandingi calon Datuk Azman Abidin dari KEADILAN dimulakan dengan ucapan alu aluan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Amiruddin Shari di perkarangan Stadium Hang Jebat, Melaka.
Datuk Seri Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, pengumuman disahkan sebagai calon hari ini bakal menjadi permulaan rasmi kepada gerak kerja kempen gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihanraya yang hari pengundiannya ditetapkan pada 14 November ini.
"Insya-Allah sebentar lagi kita akan muktamadkan beliau sebagai calon PH bagi kerusi DUN Paya Rumput.
"Ini adalah detik permulaan rasmi selepas kita bergerak bersama beberapa waktu dan bulan, dan kita sedang melengkapkan satu proses dalam pilihan raya negeri," katanya.
Beliau berkata, Paya Rumput merupakan antara kerusi tumpuan PH yang memerlukan komitmen serta usaha maksimum seluruh jentera sepanjang tempoh berkempen.
Amirudin turut mengingatkan penyokong dan jentera parti supaya tidak sekadar hadir pada majlis pelancaran, sebaliknya terus bekerja sehingga hari pengundian.
"Saya harap kita tidak hanya berhimpun pada hari ini. Kita akan maksimumkan segala ikhtiar dan usaha kita sepanjang tempoh kempen sampailah hari pengundian, iaitu 14 November," katanya.
Menurut Menteri Besar Selangor itu, PH mempunyai kekuatan dari segi jumlah kerusi yang ditandingi serta pengalaman untuk mentadbir negeri.
Beliau berkata, pengalaman Azman berkhidmat sebagai Setiausaha Politik di Pejabat Perdana Menteri juga menjadi kelebihan kepada penduduk Paya Rumput sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
"Apatah lagi saudara Azman dengan pengalaman beliau datang dari Pejabat PM dan ini adalah satu kelebihan kepada Paya Rumput kerana PM hantar setiausaha politiknya di sini untuk menjadi wakil beliau dan membantu penduduk Paya Rumput," katanya.




Comments