MOF tidak pernah arah batal projek jalan luar bandar - Tengku Zafrul


Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan pembatalan projek jalan luar bandar, tegas Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menerusi perkongsian video di laman sosial beliau pada Jumaat, Tengku Zafrul berkata, sebaliknya MOF hanya menangguhkan kontrak baharu bagi mengelakkan tunggakan bayaran kepada kontraktor terus meningkat.
Mengulas lanjut arahan tersebut, beliau menjelaskan penangguhan dibuat berikutan perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen setiap tahun sejak 2022, sehingga menyebabkan peningkatan komitmen kontrak dan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
"Penangguhan kontrak baharu juga tidak bererti projek sedia ada dibatalkan. MOF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek. Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.
"Itu dua perkara yang berbeza. Sebab itulah kewangan negara mesti diurus dengan cermat, bukan sekadar meluluskan projek tetapi memastikan ada peruntukan yang mencukupi untuk membayarnya," katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan peruntukan jalan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, sengaja dikurangkan.
Perbelanjaan jalan luar bandar bagi tempoh 2023 hingga 2027, termasuk peruntukan tahun ini dan tahun hadapan jelasnya, meningkat kepada RM11 bilion berbanding RM3.7 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2022, iaitu hampir tiga kali ganda.
"Di Sabah dan Sarawak sahaja, perbelanjaan sebenar jalan luar bandar tahun ini mencecah RM1.41 bilion, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
"Setiap tahun sejak 2023, kira-kira separuh daripada perbelanjaan jalan luar bandar seluruh negara disalurkan ke Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan," katanya.
Beliau sementara itu turut mengingatkan supaya isu pembangunan di kedua-dua negeri itu tidak wajar dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.




Comments