Wanita KEADILAN sokong padu pendirian tegas PM lawan Israel
- Suara Keadilan

- Sep 16
- 2 min read

Kenyataan tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, yang menggesa supaya hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel dihentikan serta merta disokong oleh Wanita KEADILAN Pusat.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Datuk Ginie Lim berkata, kenyataan Perdana Menteri itu mengesahkan tekad Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam usaha menghentikan serangan biadab Israel dan membebaskan Palestin.
"Kenyataan tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha untuk menghentikan penglibatan diplomatik dan hubungan perdagangan dengan Israel mengesahkan dedikasi Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk menghentikan serangan biadab ke atas negara berdaulat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ginie Lim, Wanita KEADILAN turut memuji langkah kerajaan yang menggesa tindakan berupa hukuman lebih berat dikenakan ke atas Israel oleh masyarakat antarabangsa, terutama selepas serangan ke atas Doha, Qatar baru-baru ini.

"Menghujani bom ke atas ibu negara sebuah negara yang berdaulat adalah haram, biadab dan tidak boleh dipertahankan," tegas Ginie Lim, memetik amaran Perdana Menteri di persidangan tersebut.
Jelas beliau, sejak perang Israel-Gaza bermula pada Oktober 2023 lebih banyak negara termasuk Lubnan, Syria, Yaman, Iraq, Iran dan kini Qatar menjadi sasaran rejim Zionis, sekali gus membahayakan keselamatan seluruh rantau Teluk.
Wanita KEADILAN juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendukung setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempertahankan hak penentuan nasib sendiri oleh rakyat Palestin.
Begitu juga misi bantuan ke Gaza yang terkepung dan kelaparan melalui inisiatif Global Sumud Flotilla oleh pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis prihatin seluruh dunia perlu dijamin keselamatan mereka.
"Kami menyokong seruan Perdana Menteri kepada para pemimpin dunia untuk melakukan segala yang mampu dalam bidang kuasa mereka bagi memastikan flotila mencapai pantainya, sebagai misi belas kasihan "untuk membela yang lemah, untuk melindungi orang yang tertindas, untuk memberi makanan kepada yang lapar," ujarnya lagi.
Datuk Ginie menegaskan bahawa Wanita KEADILAN akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan negara dalam usaha menentang kezaliman serta memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat.









Comments