Perhimpunan Sogo: 'Himpunan aman bukan untuk cetuskan pertelingkahan kaum'
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Tindakan pihak berkuasa menghalang perhimpunan di hadapan kompleks membeli belah Sogo di ibu negara kelmarin perlu dilihat dalam kerangka undang-undang, keselamatan awam serta keharmonian antara kaum dan agama, kata Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa pendiriannya konsisten dan tidak menyokong mana-mana bangunan yang dibina secara haram atau didirikan di atas tanah tanpa hak milik yang sah, tanpa mengira bentuk atau tujuan pembinaan tersebut. Bagaimanapun untuk menjadikan isu berkenaan sebagai agenda 'eksrem' antara agama merupakan sesuatu yang tidak wajar dilakukan.
"Saya tidak menyokong mana-mana bangunan yang dibina secara haram atau didirikan di atas tanah yang bukan hak milik, tanpa mengira sama ada ia melibatkan rumah ibadat, premis perniagaan atau apa-apa bentuk binaan lain.
"Prinsip ini konsisten dan tidak berubah. Undang-undang tanah dan perancangan mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian," katanya dalam satu kenyataan.
Namun berkenaan hak kebebasan berhimpun yang sepatutnya dilindungi kerajaan, Suhaimi berkata, perhimpunan yang dianjurkan perlulah mengambil kira faktor keselamatan awam, keharmonian kaum dan sensitiviti agama dalam negara majmuk seperti Malaysia.
"Apa yang berlaku (himpunan di Sogo) membawa unsur provokasi perkauman dan keagamaan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara komuniti.
"Walaupun pihak polis telah memberi nasihat dan peringatan awal supaya perhimpunan tidak diteruskan atas faktor keselamatan, masih ada pihak yang memilih untuk melanggar undang-undang dan mencabar autoriti penguatkuasaan," ujarnya.

Suhaimi berkata, tindakan yang diambil polis mengikut peruntukan undang-undang dan tidak wajar ditafsir sebagai penindasan kebebasan bersuara.
Katanya, sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak dan berlaku kekacauan atau rusuhan lewat himpunan berkenaan maka kerajaan akan dituduh lemah dan gagal menjaga keamanan.
"Sikap sebegini bukan perjuangan prinsip, tetapi satu taktik untuk mencipta persepsi buruk dan memancing kemarahan rakyat melalui sentimen 3R," ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa isu rumah ibadat tanpa kelulusan sebenarnya merupakan isu pentadbiran tanah dan perancangan bandar yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu, merentasi pelbagai kerajaan dan melibatkan semua komuniti.
Katanya, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta Kanun Tanah Negara 1965, setiap pembinaan wajib mendapat kelulusan PBT. Tanpa kelulusan, ia dianggap tidak sah dan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan.
"Undang-undang ini diwujudkan bukan untuk menindas mana-mana agama, tetapi bagi memastikan keselamatan awam, hak milik tanah yang sah dan perancangan bandar yang teratur," jelasnya.
Tegas Suhaimi, walaupun Akta Perhimpunan Aman 2012 menjamin hak berhimpun, hak tersebut bukanlah mutlak kerana Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekatan munasabah demi keselamatan dan ketenteraman awam.
"Isu 3R pula tidak dinilai hanya di bawah Akta Perhimpunan Aman, tetapi turut tertakluk kepada Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Polis 1967."
Katanya, situasi menjadi lebih sensitif apabila perhimpunan cuba dianjurkan dalam tempoh lawatan rasmi Perdana Menteri India serta dalam suasana pasca sambutan Thaipusam, yang memerlukan pertimbangan keselamatan lebih menyeluruh.
"Tindakan polis menghalang perhimpunan tersebut bukan untuk menyekat demokrasi, tetapi bagi mencegah konflik nasional yang lebih besar.
"Malaysia bukan milik ekstremis atau mereka yang mempermainkan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik. Malaysia adalah milik semua rakyat yang menghormati undang-undang dan mahukan keamanan jangka panjang," kata beliau lagi.
Untuk rekod, semalam Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan permohonan polis untuk menahan dua aktivis Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan Tamim Dahari, selama dua hari bagi membantu siasatan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan dalam prosiding permohonan lanjutan reman.









Comments