AMANAH pertahankan Islam: Agenda perlu diarus perdanakan
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan pimpinan tertinggi AMANAH mengenai peranan parti dalam mempertahankan Islam kini menjadi kayu ukur kepada tindakan sebenar parti, khususnya dalam memberi ruang kepada tokoh agama memegang peranan penting dalam kerajaan.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (gambar) menegaskan, persepsi memainkan peranan penting dalam politik, justeru parti itu perlu menampilkan tokoh agamawan daripada kalangan kepimpinan parti ke dalam pentadbiran kerajaan.
"Kenyataan Presiden (DS Mohamad Sabu) yang parti tersebut mesti dilihat sebagai sebuah parti mempertahankan Islam, dialu alukan dan disokong. Ini adalah harapan ahli-ahli AMANAH dan persoalannya, adakah AMANAH telah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya ke arah tersebut?
"Seorang tokoh kanan parti berlatar belakang pendidikan tinggi agama adalah Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang juga merupakan mantan Menteri Agama.
"Sebagai mantan Menteri Agama dan Timbalan Presiden, beliau sepatutnya diketengahkan dalam Kabinet sebagai Menteri kerana Naib-Naib Presiden AMANAH lain kini telah pun menduduki jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.
"Ramai yang tertanya-tanya dan mengharap Dr Mujahid diketengahkan dalam Kabinet untuk memperjuangkan agenda Islam untuk negara dan AMANAH, dan mereka juga berharap AMANAH berusha ke arah tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raja Kamarul berkata, menjelang PRU16 yang semakin hampir, sudah tiba masanya AMANAH berusaha memastikan Dr Mujahid diberikan jawatan yang sewajarnya dalam kerajaan.
Raja Bahrin juga mengulas komen Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda bahawa parti itu satakat ini hanya mendapat sokongan 1% - 5% pengundi Melayu yang menyukarkan untuk menang kerusi di negeri negeri.
"Kenyataan Ketua Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini yang menyentuh pencapaian undi rendah parti itu menunjukkan perlunya tindakan segera dan langkah positif diambil oleh AMANAH.
"AMANAH mempunyai tokoh agama kanan yang boleh mengangkatkan nama AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan pengundi Islam terutamanya untuk PRU16 ini dan persepsi AMANAH memperjuangkan Islam amat penting serta mesti ditingkatkan lagi," kata beliau lagi.









Comments