Replika 'The Looted Badeng Sunhat' pengiktirafan asal usul masyarakat Kenyah Badeng
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Penyerahan Replika 'The Looted Badeng Sunhat' oleh Komuniti Kenyah Badeng Sarawak, melalui Persatuan Kenyah Badeng Sarawak (KEBANA) kepada Muzium Sarawak, diharapkan menjadi pemangkin kepada pengiktirafan yang lebih adil dan berteraskan fakta sejarah terhadap identiti, martabat serta hak masyarakat Kenyah Badeng di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, penyerahan replika itu bukan sekadar simbol kebudayaan semata-mata, tetapi merupakan dokumen sejarah yang signifikan bagi membetulkan salah faham, kekeliruan dan naratif yang tidak tepat mengenai asal-usul masyarakat Kenyah Badeng.
"Sebagai Ahli Dewan Negara, saya telah menyaksikan sendiri satu peristiwa penting yang wajar direkodkan sebagai sebahagian daripada sejarah dan warisan kebudayaan Sarawak serta negara, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung keadilan, pengiktirafan sejarah dan hak rakyat asal.

"Semoga usaha ini terus menjadi pemangkin kepada pemeliharaan warisan, keadilan sejarah dan pengiktirafan hak masyarakat Orang Asal Sarawak secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis tersebut telah berlangsung pada 7 Februari lalu di Muzium Sarawak yang turut dihadir Presiden Persatuan Kenyah Badeng Sarawak (KEBANA), wakil pengurusan Muzium Sarawak termasuk Dr Awangku Shahrir Naquiddin, Kurator merangkap Ketua Seksyen Inventori dan Verifikasi Muzium Sarawak, barisan Ahli Jawatankuasa KEBANA, pemimpin komuniti Kenyah Badeng dan para jemputan.
Abun berkata, Sunhat atau dalam Bahasa Kenyah Badeng dikenali sebagai Saung Selling, merupakan topi tradisional yang dihasilkan sejak turun-temurun oleh komuniti Kenyah Badeng dan menjadi lambang identiti, budaya serta sejarah masyarakat ini.
Ujarnya, penyerahan replika Saung Selling ini adalah satu usaha penting bagi memastikan warisan tersebut dapat dipelihara, dipamerkan dan dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.
"Sejarah telah merekodkan bahawa Saung Selling asal ini telah dirampas lebih 130 tahun lalu oleh pihak berkuasa di bawah pemerintahan James Brooke, iaitu pada tahun 1895, di penempatan Kenyah Badeng di Usun Apau, Sarawak.
"Fakta sejarah ini merupakan bukti yang jelas dan tidak dapat disangkal bahawa masyarakat Kenyah Badeng adalah Penduduk Asal Negeri Sarawak, dan bukannya pendatang asing seperti yang sering disalah tafsir atau dinafikan oleh pihak tertentu," kata Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.









Comments