top of page

Rumah ibadat: Sokong kerajaan kukuh keluhuran Perlembagaan - AMK N Sembilan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan menyokong penuh pendirian Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam membanteras rumah ibadah yang dibina, diubah suai atau digunakan tanpa kelulusan sah pihak berkuasa.


Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Raihan Md Idris berkata pendirian tegas kerajaan itu selari dengan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.


"Walaupun Perkara 11(1) menjamin kebebasan beragama, Perkara 11(5) dengan jelas memperuntukkan bahawa kebebasan tersebut tidak boleh dilaksanakan dengan cara yang menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan atau moral," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raihan Md Idris
Raihan Md Idris

Raihan berkata, dari sudut pentadbiran dan perancangan bandar, pembinaan atau penggunaan premis sebagai rumah ibadah tanpa kelulusan melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL).


Katanya, penguatkuasaan terhadap pelanggaran tersebut adalah kewajipan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak boleh ditafsir sebagai tindakan bermotifkan politik.


Beliau menegaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang perlu ditegakkan tanpa pengecualian sambil mengecam cubaan mana-mana pihak mempolitikkan tindakan penguatkuasaan sah atau memutarbelit peruntukan perlembagaan sehingga berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.


AMK Negeri Sembilan, katanya, menyokong penuh pendirian Perdana Menteri bahawa Malaysia mesti ditadbir berasaskan undang-undang, bukan tekanan emosi atau naratif populis serta menuntut agar penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, telus dan mengikut proses wajar.


"Kesimpulannya jelas bahawa undang-undang adalah yang tertinggi dan kebebasan beragama mesti beroperasi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.


"Tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan AMK Negeri Sembilan akan terus mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kepimpinan Perdana Menteri demi kestabilan dan keharmonian negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page