top of page

Wanita KEADILAN perlu kembali ke akar umbi, dekati rakyat - Fadhlina

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read
Fadhlina menyampaikan menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Wanita KEADILAN
Fadhlina menyampaikan menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Wanita KEADILAN

Pimpinan dan anggota Wanita KEADILAN di seluruh negara perlu kembali ke akar umbi dengan mempergiat usaha mendekati rakyat bagi memahami sendiri masalah serta keperluan mereka.


Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata gerak kerja bersama rakyat perlu kembali menjadi asas perjuangan parti khususnya dalam memastikan tiada golongan yang berdepan kesukaran dibiarkan tanpa perhatian dan bantuan.


"Pimpinan, kembali kepada akar umbi dan lakukan kerja-kerja kita bersama dengan rakyat.


"Kulat-kulat lekat di dahan, rumput-rumput tumbuh di batu. Lihat-lihat rumah jiranan, takut-takut ada banyak yang perlu dibantu," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Wanita KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.


Fadhlina berkata anggota parti tidak boleh meninggalkan rakyat tanpa bantuan sebaliknya perlu terus bekerja dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perjuangan KEADILAN.


Menurut beliau parti perlu mengambil iktibar daripada setiap pandangan, kritikan dan teguran yang dibangkitkan sepanjang kongres untuk memperbaiki kelemahan serta mempersiapkan gerak kerja yang lebih berkesan.


"Kita tidak boleh meninggalkan rakyat tanpa bantuan.


"Ambil buluh dibuat galah, galah patah dimainkan budak. Jangan sekali menyerah kalah, belum mencuba berganjak ke depan," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anggota Wanita KEADILAN supaya tidak gentar menghadapi politik yang memainkan sentimen agama dan akidah sebaliknya berani mempertahankan pendirian serta bersaing berasaskan idea dan dasar.


Katanya agama tidak seharusnya ditunggang sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik manakala ruang demokrasi perlu digunakan untuk menawarkan idea serta penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat.


"Kalau kita tidak bersalah, jangan takut. Ini yang perlu kita pertahankan.


"Jangan masukkan soal-soal akidah dan menunggang agama sewenang-wenangnya. Kita hormat, kita juga merasakan ruang yang ada ini adalah ruang untuk kita bersaing dari segi idea, posisi siapa yang lebih baik," katanya.


Dalam perkembangan lain, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menegaskan usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam politik tidak boleh sekadar bersandarkan sasaran 30 peratus sekiranya parti gagal mempertahankan wanita daripada intimidasi, diskriminasi dan gangguan.


Menurutnya perkara sedemikian antara faktor yang boleh menyebabkan wanita berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan untuk menceburi politik.


"Jangan cakap pasal 30 peratus tapi kita tak boleh pertahankan walaupun seorang wanita yang dikeji, diintimidasi, yang ada gangguan dan sebagainya.


"Itu yang menghalang 30 peratus. Wanita takut kerana berlaku semua intimidasi, diskriminasi yang menyebabkan mereka berfikir banyak kali untuk masuk ke dalam bidang politik," katanya.


Fadhlina turut mahu seluruh anggota parti mengambil mesej daripada kongres kali ini untuk memperbaiki prestasi dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap KEADILAN.


Beliau mengajak anggota Wanita KEADILAN membawa mesej bahawa parti akan melakukan yang lebih baik selepas ini.


"Jumpa rakyat, rakyat tanya kenapa, kalau bila nak menang, macam mana parti macam ini. Sebut ini untuk comfort kita dan comfort rakyat, we will do better!" katanya.


Dalam ucapan sama, beliau mengumumkan tiga pembahas terbaik dari Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah akan mendapat sokongan bagi melaksanakan program di negeri masing-masing berdasarkan isu serta cadangan yang diketengahkan dalam perbahasan mereka.


Beliau turut melihat kemunculan pembahas baharu termasuk dari Terengganu sebagai petanda positif kepada proses melahirkan barisan pelapis Wanita KEADILAN untuk masa depan.


Mengakhiri ucapannya, Fadhlina menyeru seluruh anggota Wanita KEADILAN mempersiapkan pasukan masing-masing dan meneruskan perjuangan berlandaskan prinsip kesetiaan, ketaatan serta keyakinan.


"Teruskan kerja keras kita, setia, taat dan yakin dengan perjuangan ini. Insya-Allah, saya sangat yakin kita akan lebih baik.


"Jadi persiapkan pasukan masing-masing, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita kekuatan," katanya.

1 Comment


Jenny
Jenny
a day ago

Living in Poland, I usually search for casino information in one place instead of visiting dozens of different websites https://bet-kasyno.info/

This guide gave me exactly what I needed. I liked that it compares casinos accepting BLIK and highlights payment speed, promotions, and game selection. Everything feels organized and written with Polish players in mind. It saved me plenty of time before registering

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page