Wanita KEADILAN Pasir Gudang bantu mangsa kebakaran Teluk Jawa
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Pasir Gudang tampil menghulurkan bantuan serta sokongan moral kepada mangsa kebakaran di Kampung Orang Asli, Teluk Jawa.
Ketuanya, Noraziah Mohd Razit berkata, seramai 117 mangsa daripada 30 keluarga terjejas dalam kebakaran pada Khamis lalu yang dipercayai berpunca daripada litar pintas dan merebak dengan pantas ke seluruh kawasan akibat angin kencang.
"Dalam tempoh singkat, mangsa kehilangan tempat tinggal dan harta benda, sekali gus mengubah kehidupan mereka sekelip mata," katanya dalam muat naik di media sosial.
Justeru menurut Noraziah, sebagai tanda solidariti, pihaknya telah menyalurkan bantuan kit bantuan merangkumi telekung serta kain batik bagi memenuhi keperluan asas golongan terlibat.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban mangsa, khususnya wanita dan anak-anak yang memerlukan pakaian serta barangan asas dalam tempoh kecemasan.
Menerusi kenyataan sama, Timbalan Setiausaha 1, Wanita KEADILAN Malaysia itu turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan berkenaan.
Beliau turut berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa terbabit.
"Semoga segala urusan mereka dipermudahkan dan kehilangan ini digantikan dengan sesuatu yang lebih baik," ujarnya.









Comments