Kenyataan Exco umum turunkan Tuanku Muhriz tidak sah - DKU


Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikeluarkan pada 16 September lalu tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan di sisi undang-undang.
DKU dalam kenyataan berkata keputusan berkenaan, setakat mana ia bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mengiktiraf pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu serta mengarahkan pelaksanaannya dengan serta-merta, ia menyentuh perkara di luar bidang kuasa MMKN.
"[Ia] bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat. Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan," kata DKU dalam kenyataan hari ini.
DKU sekali lagi menegaskan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat sejak awal, tiada siasatan menurut Perkara X (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan, serta tiga daripada empat orang yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut.
Selain itu jelasnya, keengganan Menteri Besar yang ketika itu untuk menandatanganinya, fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut," katanya.

Menurut DKU, persoalan berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasa Dewan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
"Menurut Perkara XVI (3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan," kata DKU.
Dalam pada itu, DKU mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 15 September lalu yang menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Menurut DKU, pendirian Menteri Besar bahawa kesahan dan kesan proklamasi berkenaan perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah termasuk penentuan kehakiman, adalah selaras dengan UUTKNS 1959 serta ketetapan Dewan.
DKU menyatakan sebarang proklamasi pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu di bawah Perkara XI UUTKNS 1959 yang bersandarkan asas sama adalah tidak sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
Mengenai prerogatif Undang Yang Empat yang dirujuk dalam dokumen MMKN bertarikh 16 September itu, DKU berkata ia hanya boleh dilaksanakan oleh Undang yang memegang jawatan secara sah serta mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan Perlembagaan.
DKU turut menegaskan pegawai Kerajaan Negeri tidak dikehendaki bertindak atas arahan yang berasaskan dokumen bertarikh 5 September atau 16 September 2026 kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan UUTKNS 1959 dan ketetapan Dewan yang mengikat.
Dalam perkembangan berkaitan, DKU memaklumkan perkara itu kini sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.
Sehubungan itu, DKU menyeru semua pihak menghormati proses mahkamah dan menahan diri daripada mengambil sebarang langkah yang boleh memintas atau mengganggu prosiding berkenaan.
DKU pada masa sama menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan selain menegaskan tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.
"Institusi adat Negeri Sembilan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu tetapi merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris," menurut kenyataan itu.




Comments