KEADILAN Kuantan gerakkan ceramah kelompok jelaskan isu semasa


KEADILAN Cabang Kuantan mula menggerakkan program ceramah kelompok di setiap akar umbi ranting di seluruh cabang.
Program tersebut bertujuan menjelaskan secara dekat pelbagai inisiatif di bawah Kerajaan Madani serta meluruskan sebarang salah faham rakyat terhadap dasar dan hala tuju Kerajaan Perpaduan hari ini.
Setiap sesi ceramah disasarkan kepada khalayak kecil sekitar 15 hingga 30 orang bagi membolehkan dialog dua hala yang lebih efektif dan permasalahan setempat dapat dibincangkan secara terperinci.
Terbaharu, ceramah kelompok telah diadakan untuk penduduk Alor Akar, Kuantan sekitar Balai Komuniti Rumah Pangsa Alor Akar pada 28 Ogos 2026.
Program ini dibantu oleh kepimpinan Ranting Alor Akar Selatan di dalam DUN Teruntum, Parlimen Kuantan.
Tiga pemimpin utama cabang menyampaikan penerangan dalam sesi tersebut iaitu Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, Timbalan Ketua Cabang, Aidil Haryman Mat Nor dan Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri.
Menurut Fakhrul Anuar, pendekatan ceramah kelompok akan diteruskan ke semua ranting dalam Parlimen Kuantan secara berperingkat.
"Kita mahu turun terus ke bawah. Bukan berceramah di dewan besar sahaja, tetapi duduk semeja, minum bersama dan jelaskan apa yang kerajaan sedang buat. Ini penting agar rakyat faham dan tidak terpengaruh dengan fitnah," ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen KEADILAN Cabang Kuantan untuk menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan maklumat sampai dengan tepat dan bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada yang memerlukan.




Comments