top of page

Mangsa banjir Selangor terima bantuan tambahan RM2,500 – PM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
1 min read
DS Anwar melawat pusat pemindahan mangsa banjir di kawasan Jeram, Selangor
DS Anwar melawat pusat pemindahan mangsa banjir di kawasan Jeram, Selangor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Tunai Tambahan Khas sebanyak RM2,500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir yang layak di Selangor.


Beliau berkata pembayaran bantuan berkenaan dijangka bermula esok, 10 November 2026, bagi membantu meringankan beban keluarga yang terjejas akibat bencana itu.


Menurut Anwar, pengumuman itu dibuat selepas beliau mengadakan lawatan ke Jeram, Selangor hari ini bagi meninjau keadaan mangsa serta meneliti permasalahan dihadapi penduduk dan pasukan pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi menangani banjir.


"Musibah banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor pastinya mengundang keresahan dan kepayahan kepada rakyat, terutama keluarga yang terbeban dengan masalah kerosakan harta benda serta kehilangan kelengkapan asas kediaman," katanya dalam hantaran di media sosial.


Dalam pada itu, Anwar mengarahkan supaya pelaksanaan projek tebatan banjir dipercepatkan bagi mengelakkan penduduk terus berdepan bencana sama setiap tahun.


Tegas beliau, kerajaan tidak boleh sekadar menyalurkan bantuan selepas banjir berlaku, sebaliknya perlu memastikan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan secara berkesan.


"Kita tidak boleh terus membiarkan rakyat berdepan musibah yang sama saban tahun tanpa penyelesaian yang tuntas dan berkesan," katanya.


Beliau berkata isu banjir merupakan antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian kerajaan, khususnya dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.


"Bagi pihak kerajaan, ini masalah utama yang mesti kita beri tumpuan, dan tidak semata-mata memberikan bantuan, tetapi memastikan rakyat tidak terus terbelenggu dengan kesusahan yang sebegini rupa hampir setiap tahun," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page