top of page

Tahanan rumah Najib: Tafsiran 'pelepasan' perlu penjelasan mahkamah - Saifuddin

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak, namun memerlukan penjelasan mahkamah berhubung perbezaan tafsiran istilah undang-undang dalam perintah yang dikeluarkan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat tiga bidang kuasa berbeza yang perlu difahami dalam isu berkenaan, iaitu proses perundangan terhadap Najib, kuasa Lembaga Pengampunan dan tanggungjawab kerajaan sebagai pihak pelaksana keputusan tersebut.


Menurutnya, Najib telah melalui proses perbicaraan dan rayuan undang-undang sebelum disabitkan dalam dua kes berasingan membabitkan SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Bagaimanapun, hukuman yang sedang dijalani Najib ketika ini adalah berkaitan sabitan kes SRC International.


"Petak pertama adalah petak Datuk Seri Najib yang diadili mengikut proses undang-undang, disabitkan atas dua sabitan, satu SRC, satu lagi 1MDB. Yang Datuk Seri Najib sedang menjalani hukuman adalah sabitan SRC.


"Dan kedudukan Datuk Najib juga, apabila disabitkan dan melalui semua proses rayuan dan sebagainya, maka dia berhak untuk mengemukakan rayuan dan dia telah menggunakan hak dia," katanya dalam sidang media di Klebang, Melaka hari ini.


Beliau berkata, petak kedua pula membabitkan kuasa Lembaga Pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong.


Katanya, keputusan pengampunan yang diketahui termasuk perintah supaya Najib menjalani tahanan rumah selepas pembayaran RM50 juta dibuat.


Sementara itu, petak ketiga adalah tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan mengikut lunas undang-undang.


Saifuddin menjelaskan, kekeliruan timbul berhubung penggunaan istilah order of discharge atau perintah pelepasan yang dikeluarkan mahkamah setelah denda dibayar kerana ia mempunyai implikasi berbeza berbanding pelaksanaan tahanan rumah.


Menurutnya, pelepasan bermaksud Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa terhadap seseorang banduan, manakala tahanan rumah pula bermaksud individu berkenaan masih menjalani baki hukuman di bawah kawalan pihak penjara.


"Kalau tahanan rumah, penjara masih ada autoriti. Tapi kalau pelepasan, penjara tak ada autoriti.


"Di satu sisi, kita dikenakan melaksanakan tahanan rumah, bermaksud rumah itu diwartakan. Dengan pewartaan itu bermaksud Jabatan Penjara masih ada autoriti," katanya.


Beliau berkata, sekiranya tahanan rumah dilaksanakan, kedudukan Najib adalah masih menjalani baki hukuman, cuma lokasi tahanannya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediaman yang diwartakan.


Istilah pelepasan perlu dirujuk ke mahkamah


Namun, perintah mahkamah yang menggunakan istilah pelepasan menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa Jabatan Penjara untuk terus mengawal pergerakan dan pelaksanaan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu.


Sehubungan itu, Saifuddin berkata KDN telah mendapatkan pandangan Peguam Negara sebelum isu berkenaan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan tafsiran yang jelas.


"Kalau ada dua interpretasi, mahkamah adalah platform terbaik. Jadi, Kementerian Dalam Negeri, kita akan akur dan hormati perkara itu," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan KDN tidak pernah mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong atau keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah terhadap Najib.


"Itu tak ada siapa usik. Titah Yang di-Pertuan Agong adalah melalui keputusan Lembaga Pengampunan. Apa dia? Seperti mana surat yang dihantar kepada KDN oleh Setiausaha Lembaga Pengampunan. Kita dah terima surat itu, kita akur.


"Tak ada masalah. Satu ayat, satu koma, satu perkara pun kita tak pindah," katanya.


Beliau turut menafikan dakwaan bahawa KDN tidak bersetuju dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, sebaliknya menegaskan persoalan yang perlu diselesaikan ketika ini hanyalah perbezaan tafsiran dalam dokumen undang-undang.


Saifuddin berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mempunyai maklumat mengenai bila mahkamah akan membuat keputusan berhubung perkara itu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page