Kegiatan tidak bermoral: Kerajaan perlu laksana pelan sokongan mahasiswa - Batalion


Batalion Anak Muda menggesa Kerajaan MADANI melaksanakan pelan sokongan mahasiswa secara bersepadu bagi menangani risiko eksploitasi golongan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), susulan dakwaan penglibatan mahasiswa dalam kegiatan 'sugar baby' yang tular di media sosial baru baru ini.
Batalion Anak Muda dalam kenyataan media berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Dewan Rakyat pada 27 Oktober lalu bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius isu berkenaan dan akan meneliti kajian yang tular tersebut.
Bagaimanapun, Batalion berpandangan respons awal kementerian tidak mencukupi tanpa garis masa serta pelan tindakan yang jelas bagi menangani permasalahan tersebut.
Menurut kenyataan itu, pihaknya sengaja tidak mengulangi sebarang angka daripada kajian tular berkenaan kerana kesahihannya masih belum disahkan.
"Angka yang tidak tepat bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mencalarkan maruah mahasiswa dan universiti yang tidak terlibat.
"Batalion menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan senarai atau angka yang belum disahkan," kata kenyataan itu.
Mengambil iktibar daripada kontroversi pada Februari 2021, Batalion berkata angka yang diterbitkan sebuah platform komersial ketika itu turut dipertikaikan oleh institusi yang disebut, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyifatkan tindakan platform berkenaan sebagai gimik pemasaran.
Namun, Batalion menegaskan bahawa tanpa mengira jumlah sebenar mahasiswa yang terlibat, risiko eksploitasi golongan muda tetap perlu ditangani secara serius.
Katanya, fenomena itu turut dikaitkan dengan tekanan kos sara hidup, bebanan kewangan dan pengaruh rakan sebaya yang boleh mendorong mahasiswa mencari jalan singkat untuk mendapatkan wang.
Tubuh jawatankuasa antara kementerian
Sehubungan itu, Batalion mencadangkan penubuhan jawatankuasa antara kementerian yang dipengerusikan KPT bagi menyelaraskan pelaksanaan pelan sokongan mahasiswa.
Antara cadangannya termasuk KPT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengenal pasti mahasiswa berisiko secara sulit, menyediakan bantuan kewangan kecemasan serta menilai kecukupan pinjaman dan bantuan sedia ada berbanding kos sara hidup semasa.
Kementerian Kewangan pula dicadangkan mempertimbangkan peruntukan khas dalam Belanjawan 2027 bagi menyediakan dana kecemasan mahasiswa dan bantuan makanan di kampus.
Selain itu, Kementerian Sumber Manusia perlu mewujudkan peluang pekerjaan sambilan dan latihan industri yang sah, selamat serta menawarkan pendapatan adil kepada mahasiswa.
Batalion turut mencadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meneroka penyediaan penginapan mampu milik serta bantuan sewa, manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyokong skim keusahawanan mikro serta koperasi pelajar.
Kementerian Belia dan Sukan pula disaran melaksanakan program kesukarelawanan berelaun dan bimbingan kerjaya, selain menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan serta sektor korporat menaja biasiswa, bantuan makanan dan peluang pekerjaan sambilan melalui tanggungjawab sosial korporat.
Dalam pada itu, Batalion menegaskan tindakan penguatkuasaan perlu ditumpukan terhadap pihak yang mengeksploitasi mahasiswa dan bukannya menghukum golongan yang menjadi mangsa.
"MCMC dan PDRM perlu memantau dan mengambil tindakan terhadap platform, akaun media sosial dan orang tengah yang menyasarkan mahasiswa, termasuk bekerjasama dengan syarikat platform digital, kerana sekatan laman web sahaja terbukti mudah dielakkan," katanya.
Batalion turut menggesa penyediaan khidmat kaunseling kampus yang mudah diakses dan sulit, selain saluran aduan selamat bagi melindungi identiti mahasiswa yang berdepan ugutan atau eksploitasi.
Pada masa sama, pendidikan celik kewangan dan keselamatan digital perlu diperkukuh menerusi modul wajib semasa orientasi mahasiswa dengan penglibatan majlis perwakilan pelajar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Batalion juga mencadangkan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri dan MCMC menilai kecukupan undang-undang sedia ada bagi menangani platform serta orang tengah yang menyasarkan mahasiswa.
Malah, KPT digesa mengemukakan pelan tindakan dalam tempoh 90 hari dan melaporkan kemajuannya secara berkala kepada orang ramai.
"Batalion menyokong usaha KPT meneliti isu ini dan bersedia bekerjasama dengan pihak universiti, majlis perwakilan pelajar dan agensi berkaitan.
"Tugas kita bersama adalah melindungi mahasiswa daripada eksploitasi, bukan menghukum mereka dengan angka yang belum sahih.
"Mahasiswa aset negara, bukan sasaran eksploitasi. Lindungi mereka dengan fakta dan tindakan," kata kenyataan itu lagi.




Comments