Pengumuman Exco turunkan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin


Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa pengumuman barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 16 September berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu perbuatan derhaka terhadap Yang di-Pertuan Besar.
Serentak itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota Exco yang terlibat dalam pengumuman berkenaan.
"Saya tidak mengiktiraf pengumuman pada 16 September 2026 itu. Saya menegaskan bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Tindakan ahli-ahli Exco mengeluarkan pengumuman pada 16 September 2026 merupakan suatu perbuatan derhaka terhadap Tuanku Muhriz," katanya dalam kenyataan semalam.
Aminuddin menjelaskan dokumen proklamasi didakwa bertarikh 19 April 2026 yang menjadi asas kepada pengumuman berkenaan pernah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar.
Menurutnya, dokumen itu dikemukakan pada 20 April untuk ditandatangani mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) namun beliau enggan berbuat demikian.
"Saya enggan menandatangani dokumen tersebut atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu," katanya.
Aminuddin mendakwa, antara sebab penolakannya ialah beliau tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak yang menurutnya ketika itu bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong selain mendakwa proses berkenaan tidak memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS.
Beliau berkata pendirian untuk tidak menandatangani dokumen itu dibuat ketika beliau masih menyandang jawatan Menteri Besar.
"Perkara yang sama tidak boleh dikemukakan semula kepada Menteri Besar yang lain empat bulan kemudian," katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin mendakwa tiada siasatan penuh dan lengkap seperti dikehendaki Perkara 10(1) UUTKNS pernah dijalankan di hadapannya.
Beliau merujuk kepada afidavit sokongan bertarikh 17 Julai 2026 yang dikemukakan Undang Luak Johol dalam permohonan semakan kehakiman yang menurutnya mendakwa beliau hadir dalam satu mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong dan siasatan penuh telah dijalankan.
"Dakwaan ini merupakan suatu pembohongan yang nyata. Tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dijalankan di hadapan saya seperti yang didakwa," katanya.
Aminuddin turut mendakwa tiada sebarang dakwaan dikemukakan terhadap Tuanku Muhriz dan baginda tidak diberi peluang menjawab sebarang dakwaan yang disifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi.
Beliau juga mempersoalkan perubahan pendirian Kerajaan Negeri diterajui Umno-BN mengenai status proklamasi berkenaan.
Katanya, pada 9 September lalu Kerajaan Negeri menyatakan dokumen itu tidak memenuhi proses dan tatacara ditetapkan dalam Perkara 10 UUTKNS selain menyifatkannya tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
"Namun tujuh hari kemudian, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang sama pula memutuskan bahawa proklamasi tersebut telah lengkap dan berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami," katanya.
Aminuddin turut mendakwa Exco tidak mempunyai kuasa di bawah UUTKNS untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau berkata, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada 13 September turut menegaskan proklamasi itu tidak sah dan terbatal sejak awal serta Tuanku Muhriz ialah satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan DKU itu telah disampaikan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Aminuddin turut mempersoalkan pengumuman 16 September yang menyatakan proklamasi hanya disempurnakan menurut Perkara 10(2) selepas Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos 2026.
Pada masa sama, katanya pengumuman itu menyatakan seorang pengganti telah dipilih pada 19 April 2026 menurut Perkara 11.
"Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang," tegas beliau lagi.




Comments