Umno kata kempen berhemah, tetapi kelirukan rakyat?


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad bersetuju dengan seruan Umno supaya kempen pilihanraya dijalankan secara berhemah dan berakhlak.
Sehubungan itu, katanya, Umno perlu memastikan seruan tersebut diterjemah melalui penyampaian fakta yang tepat, bukan kenyataan yang mengelirukan rakyat.
"Saya rujuk kenyataan Setiausaha Agung Umno bertarikh 28 Oktober 2026, khususnya desakan supaya Kementerian Kewangan (MOF) menarik balik arahan pembatalan projek pembangunan luar bandar terutama di Sabah Sarawak serta seruan mengenai akhlak berkempen.
"Saya ingin perbetulkan fakta. Arahan MOF ialah menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar. Penangguhan SST tidak sama dengan pembatalan projek.
"Jadi jangan kelirukan rakyat dengan menggambarkan kedua-duanya sebagai perkara yang sama," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan tersebut, Saifuddin turut mencabar Umno mengemukakan dokumen serta senarai projek sekiranya benar terdapat arahan pembatalan menyeluruh projek jalan, bekalan air dan elektrik seperti yang didakwa.
Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa Kerajaan MADANI membatalkan projek jalan luar bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak.
Kenyataan Presiden Umno itu dilihat bertentangan dengan fakta bahawa Kementerian Kewangan (MOF) sudah menyalurkan peruntukan sepenuhnya kepada KKDW bagi melaksana projek berkenaan.
"Rakyat mahu projek disiapkan. MOF dan KKDW perlu segera menyelesaikan isu yang berbangkit serta memberikan kepastian mengenai pelaksanaan projek yang terjejas," tegas Saifuddin.
Beliau sementara itu menegaskan, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan pembangunan Sarawak dalam Belanjawan 2026 meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2022.
Rekod tersebut jelasnya perlu diambil kira dalam perbahasan mengenai komitmen kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu.
"Justeru, prinsip berkempen secara berhemah perlu diguna pakai secara konsisten oleh semua pihak tanpa mengira parti. Persaingan politik seharusnya berasaskan fakta, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat.
"Umno perlu ingat ketika PRN Negeri Sembilan lalu, berlaku siasatan polis berhubung kenyataan-kenyataan pemimpin parti itu yang mengelirukan serta mengaitkan institusi diraja dengan parti politik.
"Menyeru pihak lain menjaga akhlak tetapi berdiam diri apabila pimpinan sendiri dipersoalkan ialah hipokrasi tahap tertinggi dan saya yakin Dr Asyraf Wajdi bukan pemimpin seperti itu.
"Apabila Umno sendiri bercakap tentang akhlak dalam berkempen, pimpinan bertanggungjawab memastikan ucapan serta tindakan tidak melampaui batas, sama ada di pentas kempen mahupun media sosial," katanya lagi.




Comments