top of page

Umno jangan sibuk isu jenama kerajaan, lebih baik fokus isu rakyat

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
12 minutes ago
1 min read
Datuk Mahfuz Omar. Gambar arkib
Datuk Mahfuz Omar. Gambar arkib

Jangan jadikan 'jenama' kerajaan sebagai isu negara kerana rakyat kini lebih menantikan hasil dan penyelesaian terhadap masalah kehidupan mereka, tegas Datuk Mahfuz Omar.


Naib Presiden AMANAH itu memberi reaksi balas susulan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa pentadbiran negara mesti terus dirujuk sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, bukan Kerajaan MADANI.


"Selama hampir empat tahun ini, Umno pi mana? Tidur ka? Sepanjang tempoh ini istilah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan MADANI digunakan silih berganti dalam ucapan, kenyataan rasmi dan program kerajaan.


"Kerajaan tetap berjalan. Kabinet tetap bermesyuarat. Menteri-menteri daripada semua parti komponen tetap menjalankan tugas.


"Rakyat pula tidak pernah bangun pagi bertanya hari ini kerajaan dipanggil Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI?


"Rakyat lebih sibuk bertanya tentang bagaimana (keadaan) ekonomi, harga barang, subsidi sampai kepada siapa, sekolah, hospital, jalan raya dan kebajikan rakyat macam mana," katanya menerusi satu kenyataan.


Justeru, kata Mahfuz jenama kerajaan tidak wajar dijadikan sebagai isu negara, sedangkan rakyat sedang menunggu hasil dan penyelesaian terhadap masalah kehidupan mereka.


Ujarnya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mengusahakan untuk memperkukuhkan ekonomi, menarik pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan.


"Kalau benar Umno sayangkan Kerajaan Perpaduan, jangan robek perpaduannya. Saya lebih hairan apabila Umno begitu bersungguh-sungguh mempertahankan nama panggilan Kerajaan Perpaduan.


"Tetapi pada masa yang sama pemimpin Umno sendiri tampil menyerang kerajaan yang mereka sendiri menjadi sebahagian daripadanya.


"Pagi duduk dalam Kabinet, petang pertahankan kerajaan, malam naik pentas parti untuk menyindir dan memperlekeh kerajaan sendiri. Itu mahu dipanggil apa?


"Jangan sibuk mengeja perkataan 'Perpaduan' (tapi) kalau dalam masa yang sama kita sendiri sedang mengoyakkan kain perpaduan," bidas mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page