'Umno-BN perlu letak jawatan jika mahu terus berlawan dengan PH'


Jika Umno dan BN memilih untuk menjadi lawan politik PH, maka berjiwa besarlah untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan MADANI - Yahya
Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu membuat keputusan politik yang jelas sama ada mahu terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan MADANI atau memilih untuk menjadi pesaing kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, Umno dan BN tidak sepatutnya terus menikmati kedudukan dalam Kerajaan MADANI sedangkan pada masa sama bersaing dengan PH dalam pilihanraya negeri.
Beliau berkata, pembentukan Kerajaan MADANI selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 adalah hasil kesepakatan politik bagi menjamin kestabilan negara selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan politik khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka memperlihatkan percanggahan semakin ketara dalam hubungan PH-BN.
"BN bukan sahaja bersaing secara langsung dengan PH, malah di Melaka telah membentuk kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional (PN), sedangkan di peringkat Persekutuan Umno dan BN masih menikmati kedudukan dalam Kerajaan MADANI.
"Kita menghormati hak demokrasi setiap parti untuk bertanding. Namun, tidak wajar sebuah parti terus menikmati kuasa dalam kerajaan pada masa yang sama bertindak sebagai pesaing politik yang berusaha menewaskan rakan kerajaan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Yahya berkata, sekiranya kepimpinan Umno dan BN tidak lagi mempunyai komitmen untuk menyokong serta mempertahankan Kerajaan MADANI, seluruh Menteri, Timbalan Menteri dan pemegang jawatan lantikan politik daripada parti berkenaan sewajarnya meletakkan jawatan.
"Jangan hanya mahu berkongsi kuasa di Putrajaya, tetapi memilih untuk berperang dengan rakan sendiri di medan pilihanraya," katanya.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan tertinggi PH supaya tidak membiarkan percanggahan berkenaan berlarutan.
Katanya, kerjasama kerajaan perlu dinilai semula berdasarkan kepercayaan, disiplin dan tanggungjawab bersama, bukannya sekadar perkongsian jawatan.
Kukuhkan kekuatan dalaman PH
Dalam masa sama, beliau berkata PH perlu memperkukuh kekuatan sendiri, menyusun semula strategi politik dan mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU16 tanpa terlalu bergantung kepada parti yang didakwa tidak mempunyai pendirian politik konsisten.
"Kerajaan MADANI memerlukan rakan yang benar-benar komited, bukannya rakan yang hanya bersama ketika berkongsi kuasa tetapi menjadi lawan apabila tiba musim pilihanraya.
"Jika Umno dan BN memilih untuk menjadi lawan politik PH, maka berjiwa besarlah untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan MADANI. Berikan ruang kepada PH untuk menentukan hala tuju politiknya dengan lebih jelas, tegas dan bermaruah," katanya.
Menurutnya, kestabilan kerajaan tidak boleh dibina atas percanggahan politik kerana kepentingan rakyat perlu mengatasi kepentingan jawatan dan kelangsungan parti.




Comments