top of page

Tidak cukup hantar surat, Ahmad Maslan perlu mohon maaf di Dewan Rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
8 hours ago
2 min read
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad

Jika pantun tersebut dilafazkan di Dewan Rakyat, maka di Dewan Rakyat jugalah beliau sepatutnya tampil memohon maaf secara terbuka. Biar satu dewan mendengarnya - Faezuddin

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad berpandangan permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak sepatutnya dibuat sekadar melalui sepucuk surat di luar Dewan Rakyat.


Sebaliknya, beliau berkata Ahmad perlu tampil memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat memandangkan pantun yang mencetuskan kontroversi itu turut dilafazkan di dalam dewan berkenaan.


"Jika pantun tersebut dilafazkan di Dewan Rakyat, maka di Dewan Rakyat jugalah beliau sepatutnya tampil memohon maaf secara terbuka. Biar satu dewan mendengarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Faezuddin, Ahmad bukanlah orang baharu dalam politik dan sebagai ahli politik berpengalaman, beliau sepatutnya lebih memahami adab serta tanggungjawab dalam berpolitik.


Katanya, Ahmad juga perlu menunjukkan teladan yang baik tanpa perlu diajar mengenai perbezaan antara tindakan yang wajar atau sebaliknya.


"Sebagai ahli politik berpengalaman, beliau sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan lebih arif tentang adab serta tanggungjawab dalam berpolitik.


"Rasanya, tidak perlulah kita mengajar beliau apa yang patut dilakukan. Beliau sendiri tentu lebih tahu membezakan antara tindakan yang wajar dengan yang tidak," ujarnya.


Dalam pada itu, Faezuddin mengingatkan Timbalan Menteri Kerja Raya itu bahawa Kerajaan Perpaduan dibentuk berasaskan kepercayaan dan persefahaman antara parti yang membentuk kerajaan.


Justeru, katanya, sebarang tindakan yang boleh mengguris hubungan sesama rakan kerajaan tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menjejaskan kestabilan politik.


"Sebarang tindakan yang mengguris hubungan sesama rakan kerajaan, jika dibiarkan berlarutan, boleh menggugat kepercayaan, menggoncang kerjasama politik dan akhirnya mengundang ketidakstabilan kerajaan," katanya.


Sehubungan itu Faezuddin juga mengarang serangkap pantun bagi menyedarkan Ahmad Maslan berhubung perilakunya kelmarin.


"Burung merpati terbang sekawan,

Hinggap sebentar di pohon ara,

Jangan kerana tutur tak berpedoman,

Goyah kerajaan, rakyat sengsara."

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page